17 bilik Rumah Dana Jantai terjejas akibat tanah runtuh

JULAU— Sebanyak 17 bilik terjejas apabila tanah runtuh di belakang rumah panjang mengakibatkan kerosakan di bahagian dapur dan tandas di Rumah Dana Jantai di Nanga Ijit Minus, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, sepasukan anggota dari BBP Bintangor bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 2.18 petang.

"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya runtuhan dan rekahan tanah mengakibatkan bahagian dinding dapur turut mengalami rekahan yang serius.

“Runtuhan dipercayai berlaku akibat mendapan tanah yang menyebabkan kerosakan dari 15 hingga 20 peratus bahagian bilik di rumah panjang terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, setakat ini penghuni yang terjejas dinasihatkan tidak berada di kawasan dapur dan tandas bagi mengelakkan berlakunya risiko runtuhan susulan dan mendatangkan bahaya.

Setelah memastikan keadaan didapati benar-benar selamat, maka pasukan bomba bertolak semula ke balai pada jam 4.48 petang.

Gambar BBP Bintangor
Next Post Previous Post