SUPP sambut baik sekolah vernakular Cina, Tamil terus guna bahasa ibunda

KUCHING— Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menggalakkan semua rakyat Malaysia mempelajari bahasa ibunda namun tidak pernah terlepas pandang pentingnya Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan yang menyatukan rakyat berbilang kaum.

Setiausaha Agungnya, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, hak golongan minoriti untuk mempelajari bahasa ibunda mereka, Tamil dan Mandarin, harus digalakkan dalam masyarakat yang berbilang kaum.

Sebastian memberi reaksi itu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu bahasa di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT).

Empat perayu termasuklah Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru).

“SUPP mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang sebulat suara menolak rayuan difailkan oleh NGO tersebut memohon untuk mengisytiharkan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah vernakular tidak sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Kami memuji kebijaksanaan dan pengetahuan tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Supang Lian bersama Datuk M Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan yang menyatakan sekolah vernakular boleh menggunakan bahasa Tamil dan Mandarin sebagai bahasa pengantar untuk pengajaran dan pembelajaran secara sah di sisi undang-undang dan dilindungi Perlembagaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebagai sebuah parti dan rakan kongsi dalam kerajaan, SUPP berpihak kepada rakyat yang berbilang kaum dengan pelbagai keperluan dan aspirasi mereka.
Next Post Previous Post