Polis Sarawak terima 4 laporan ancaman bom palsu

KUCHING— Polis Kontinjen Sarawak menerima sebanyak empat laporan polis berhubung ancaman bom palsu di empat sekolah kerajaan seluruh negeri sejak Selasa lalu hingga semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata jumlah yang diterima itu melibatkan tiga buah sekolah di Kuching dan sebuah di Miri.

Beliau berkata, ancaman tersebut telah dihantar melalui tiga akaun e-mel yang menggunakan nama ’Takstorrer’, ‘Tunzodev’ dan ‘Tunzowashere’.

“PDRM dengan kerjasama pihak sekolah-sekolah yang terlibat telah segera mengambil tindakan bagi mengosongkan premis-premis yang terlibat.

“Tindakan pembersihan keselamatan bom telah dijalankan secara rapi oleh elemen-elemen PDRM di semua lokasi
yang terlibat namun, tiada sebarang ancaman yang dikesan dalam kes ini. 

“Siasatan mendapati e-mel ancaman adalah palsu dan tiada bukti kewujudan risiko bom di mana-mana sekolah seperti didakwa,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Mancha menambah, PDRM memandang serius sebarang bentuk ancaman bom dan akan mengambil tindakan segera bagi menyiasat sebarang ancaman tanpa gagal. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan lain-lain.

Katanya, PDRM yakin dan memberi kepastian bahawa tahap keselamatan pelajar serta guru-guru adalah terjamin. 

Katanya, siasatan
menyeluruh terus dijalankan berhubung perkara ini.
Next Post Previous Post