Enam individu termasuk kanak-kanak terperangkap dalam banjir di SK Ulu Nyalau diselamatkan

BINTULU -- Enam individu termasuk seorang kanak-kanak yang terperangkap dalam banjir yang melanda SK Ulu Nyalau diselamatkan oleh pasukan bravo BBP Samalaju awal pagi tadi.

Jurucakap Pasukan Bravo BBP Samalaju berkata, pasukannya mengambil masa selama tiga jam bagi mengeluarkan kesemua mangsa dalam operasi menyelamat yang bermula jam 8.55 hingga 11.10 pagi itu.

"Semasa pemantauan dijalankan terdapat lima orang dewasa dan seorang kanak-kanak hendak keluar dari kawasan sekolah berkenaan, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana paras air banjir semakin meningkat," jelas beliau.

Pasukan bomba kemudiannya membantu kesemua mangsa keluar dari kawasan sekolah ke kawasan selamat.

Beliau dalam masa sama menasihati warga sekolah dan penduduk Kampung Ulu Nyalau supaya menghubungi pihak bomba jika paras air semakin naik dan sekaligus menjalankan operasi pemindahan sekiranya perlu bagi keselamatan mereka sendiri.

Pemantauan paras air akan dijalankan dari masa ke semasa dan bersiap sedia melakukan proses pemindahan jika perlu.
Next Post Previous Post