Remaja 14 tahun antara 212 individu ditahan kes dadah

Mancha menunjukkan gambar suspek yang ditahan dalam serbuan Op Tapis Khas 5 semasa sidang media di IPK Sarawak di Kuching hari ini.

KUCHING— Seramai 212 individu, termasuk remaja berusia 14 tahun, ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam serbuan Op Tapis Khas yang bermula pada 20 November hingga semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, sebanyak 290 pemeriksaan dalam operasi yang dilancarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sarawak dengan kerjasama JSJN Bukit Aman di seluruh Sarawak.

 Beliau berkata, kesemua yang ditangkap berusia dalam lingkungan 14 tahun hingga 59 tahun.

“Daripada 212 individu yang ditangkap, 19 adalah tokan dadah, 123 penagih, 20 orang dikehendaki manakala 50 lagi atas lain-lain kesalahan.

“Seramai 123 suspek yang ditahan juga akan diambil tindakan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah.

“Manakala 15 lagi diambil tindakan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah. Empat lagi ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Katanya, seramai 45 suspek ditahan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala lima lagi di bawah Seksyen 39c Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mancha berkata, pihaknya turut merampas dadah jenis syabu dengan anggaran berat (5,898.64 gram), ekstasi (275.98 gram), ganja (100.25 gram), ketamin (2.63 gram) dan erimin 5 (102 biji pil) yang keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM235,968.

“Kesemua dadah yang dirampas seberat 6,297.90 gram ini boleh digunakan oleh seramai 30,721 orang penagih dadah.

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988, di mana JSJN telah menyita wang tunai sejumlah rm3,360.00, seutas jam tangan jenama Rolex dianggarkan bernilai RM40,000.00,”katanya.

Selain itu sebuah kereta Toyota Vios dianggarkan bernilai RM50,000.00 dan sebuah kereta Perodua Myvi dianggarkan bernilai rm30,000.00. jumlah keseluruhan nilai sitaan harta ialah RM123,360.
Next Post Previous Post