Pemburu buaya direman empat hari

SIBU--Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pemburu buaya kerana disyaki menawarkan rasuah untuk mempercepatkan proses pembaharuan lesen memburu buaya.

SPRM Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, Mahkamah Majistret Sibu membenarkan reman empat hari ke atas lelaki tempatan itu bermula hari ini sehingga 28 November.

Katanya, reman ke atas Orang Kena Tuduh (OKT) dibuat selepas ditangkap oleh SPRM Cawangan Sibu kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

"Penangkapan itu susulan laporan yang diterima daripada pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC) Wilayah Sibu.

"Pada jam 11 pagi semalam semasa berada di pejabat SFC Wilayah Sibu, pengadu didatangi oleh OKT dan telah menawarkan wang rasuah sebanyak RM5,500.00 untuk mempercepatkan proses pembaharuan lesen memburu buaya. 

"Suspek telah memburu buaya ketika lesen tersebut telah tamat tempoh dan telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1998," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Suspek,51, yang bekerja sendiri diwakili oleh David Allan Sagah & Teng Advocates.
Next Post Previous Post