Sarawak perlu banyak pakar keselamatan siber, Abang Jo

Abang Johari melawat reruai pameran agensi berkaitan dengan keselamatan siber sambil diringi oleh Menteri KKD, Ahmad Fahmi Fadzil serta tetamu kenamaan yang lain. Gambar ihsan Japen

KUCHING— Sarawak perlu banyak kepakaran keselamatan siber bagi mengelak lebih ramai rakyat negeri ini terpedaya dengan taktik penipuan dalam talian.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kesedaran dan risiko yang berkaitan dengan aktiviti dalam talian di kalangan pengguna perlu dilakukan secara berterusan. 

“Orang Sarawak mudah jadi mangsa penipuan dalam talian. Contohnya sebahagian rakyat kita mudah terpedaya dengan peluang pekerjaan di Kemboja.

“Ramai yang tertipu sehingga kita menghantar rombongan dan menempah satu kapal terbang untuk menyelamat dan membawa mereka pulang dengan kos dibiayai kerajaan negeri.

“Inilah hanya satu contoh yang kita hadapi, justeru amat penting dalam kita meningkatkan kesedaran dan mendidik rakyat dalam menggunaka teknologi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Sarawak di Auditorium Muzium Budaya Borneo di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak sebanyak 2,461 kes penipuan, pecah amanah, jenayah siber, pemalsuan dan sebagainya direkodkan pada tahun 2022 membabitkan kerugian RM63.7 juta.

“Kes yang melibatkan mangsa paling ramai di Sarawak adalah kes penipuan dalam talian iaitu 453 kes dengan jumlah kerugian RM 2.5 juta, tip tawaran kerja secara dalam talian melibatkan 225 kes dengan kerugian RM 2.9 juta dan tip menyamar kenalan melibatkan 183 kes dengan kerugian RM 4.2 juta.

“Saya pun tak tahu bagaimana orang boleh bercinta dalam talian, saya tak faham kalau nak seorang wanita kita kena tengok betul-betul la, ini tak dia letak gambar orang lain,” ujar nya.

Tambah Abang Johari, kerajaan Sarawak mahupun kerajaan pusat juga perlu merancang dasar sosial supaya masyarakat tidak terlalu rasa terpencil atau rasa keseorangan bagi mengelak “Love Scam” yang sedang berleluasa sekarang ini. 

Katanya, kesunyian adalah menjadi punca utama berlakunya “Love Scam”, Singapura dan Malaysia turut menghadapi perkara ini. 

“Sebab itu dia lihat gambar orang ‘kacak’ dalam media sosial, hati yang kesunyian pun akhirnya terpaut. Orang akan menggunakan keadaan ini untuk mengambil kesempatan. Sebab itu berlaku mangsa sanggup mengeluarkan duit sehingga wang simpanan habis kerana terpedaya.

“Masalah ini kerap berlaku kepada golongan yang menua, sebab itu kita perlu merancang dasar sosial supaya masyarakat tak terlalu terpencil, rasa keseorangan,” kata Abang Johari.

Beliau berkata, teknologi sememangnya banyak risiko, ketika Sarawak melancarkan ekonomi digital kerajaan negeri sudah bersedia akan risikonya. 

“Sebab itu dalam kita melaksanakan dasar ini, saya dan rakan-rakan di Sarawak ini telah mempunyai satu program seperti ini bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk kita mendidik masyarakat bagaimana menggunakan teknologi dan mengenalpasti risikonya serta mengambil berat dengan penggunaan teknologi ini,” ujarnya. 

Katanya, Sarawak memerlukan teknologi kerana penggunaan kecerdasan buatan (AI) amat penting terutamanya dalam sektor penjagaan kesihatan yang menggunakan robot adalah lebih tepat.

“Maka, kerajaan Sarawak melaksanakan dasar digitalnya dan kita mesti mendidik rakyat kita mengenai perkara tersebut,” tegasnya.
Next Post Previous Post