Ejen insuran di Kuching rugi RM140,000 ditipu 'Gerry'

KUCHING— Hasrat seorang ejen insuran wanita menambah pendapatan menerusi kerja sambilan tidak kesampaian apabila terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian sehingga kerugian RM140,000.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa berusia pertengahan 30-an dari Kuching itu mendakwa nombor telefonnya telah dimasukkan ke dalam kumpulan aplikasi Whatsapp pada 27 Ogos berhubung tawaran kerja sambilan atas talian untuk melanggan Youtube.

“Mangsa mendakwa dijanjikan oleh seseorang bernama ‘Gerry’ iaitu suspek, setiap langganan akan dibayar insentif antara RM8.90 sehingga RM219.80.

“Mangsa telah diberikan satu pautan melalui aplikasi Telegram dan mendaftar masuk ke dalam akaun GIC Media Mall. 

Mangsa kemudian diarahkan menekan logo di dalam aplikasi tersebut dan melakukan sembilan kali transaksi pemindahan wang secara berperingkat ke dalam lima akaun berbeza sekitar penghujung Ogos melibatkan kerugian sekitar RM140,000,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mangsa sedar dirinya telah ditipu apabila hanya mendapat pulangan RM300 dan tidak lagi mendapat wang pulangan keuntungan yang dijanjikan.
Next Post Previous Post