Hisap vape punca pelajar dipukul

Ranau— Hisap vape di asrama dipercayai punca beberapa pelajar dibelasah sekumpulan pelajar lain di sebuah sekolah menengah di Ranau yang video kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, susulan kejadian itu polis menahan 10 pelajar masing-masing berusia antara 15 hingga 17 tahun pada Jumaat dan semalam.

"Siasatan awal juga mendapati punca kejadian dipercayai pelajar yang memukul dikatakan tidak berpuas hati dan marah kepada mangsa (pelajar) yang penghisap vape kerana menyusahkan pelajar asrama yang lain," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, semua pelajar kini dalam tahanan polis di dalam lokap dan akan dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan ke atas mereka selesai.

Simiun berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut.

Siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 3 Ogos lalu sebelum tular di media sosial.

Semalam, tular satu rakaman video berdurasi lima minit 33 saat di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp memaparkan mangsa dikerumuni sekumpulan pelajar di dalam sebuah bilik darjah di sebuah sekolah menengah.
Next Post Previous Post