Harga beras putih import naik cetus kebimbangan rakyat

KUCHING-- Penyelarasan harga jualan beras putih import seluruh negara mencetuskan kebimbangan rakyat apabila harga makanan ruji itu melonjak tinggi di pasaran.

Kenaikan harga itu juga memberi kesan terhadap pengusaha restoran yang masih 'pening' sama ada untuk menaikkan harga hidangan yang dijual atau sebaliknya.

Memetik laporan The Star, pemilik restoran Cina terkenal di Tapah, Perak Wong Choy Sim, beliau tidak mempunyai pilihan susulan kenaikan harga beras putih import itu.

"Kami tidak mempunyai pilihan selain menyalurkan kos tambahan kepada pelanggan kami. Kita boleh jangka untuk melihat harga sepinggan nasi akan naik kira-kira 20sen,” katanya.

Tambahnya, pengusaha restoran mahu operasinya bertahan dan ini bermakna pelanggan akan berdepan kepada kenaikan harga makanan.

Baru-baru ini Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menyelaraskan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan berkuat kuasa Jumaat lalu.

Kata BERNAS, langkah pelarasan itu juga sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.

"BERNAS mengharungi separuh tahun pertama yang sangat mencabar disebabkan ketidaktentuan pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim, kadar pertukaran mata wang asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik serantau. 

"Faktor itu secara kolektif mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global, ditambah lagi dengan kesan larangan pengeksportan beras putih yang diumumkan oleh India baru-baru ini.

"BERNAS telah menanggung kesan kenaikan harga beras import sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Bagaimanapun, tegas BERNAS, akibat ketidakpastian keadaan semasa dan setelah mempertimbangkan keperluan untuk memastikan operasi perniagaan yang mampan dan kestabilan industri, pelarasan harga adalah perlu dan tidak dapat dielakkan buat masa ini.

Pada Julai lalu, India menghentikan eksport beras terbesarnya sehingga mencetuskan kebimbangan inflasi selanjutnya di pasaran makanan global.

Kerajaan India berkata, ia mengenakan larangan ke atas beras putih bukan basmati selepas harga beras runcit meningkat tiga peratus bulan lalu selain berlaku hujan monsun lebat menyebabkan kerosakan besar-besaran pada tanaman.

Kementerian Makanan berkata tindakan itu adalah bagi memastikan ketersediaan beras putih bukan basmati yang mencukupi di pasaran India dan untuk meredakan kenaikan harga di pasaran domestik,

Kategori yang terkesan ialah beras putih bukan basmati dan beras pecah, menyumbang kira-kira 10 juta tan daripada sejumlah 22 juta tan eksport beras India tahun lalu.

Sementara itu sejak semalam tular di media sosial harga beras jenama Liansin bagi 5 kg dan 10 kg yang dijual dengan harga baharu antara RM7.10 hingga RM61.50.

Menurut seorang lagi pemilik restoran Nasi Kandar Arsyad, Mohd Arsyad Azarin, turut menganggarkan harga makanan mungkin naik sekurang-kurangnya antara 50sen dan 80sen, dengan kenaikan bukan sahaja beras import tetapi semua bahan lain.

“Bukan setakat harga beras yang naik tetapi segala-galanya seperti ayam, daging merah, sayur-sayuran dan bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kari. Kami sedang menyerap kos, tetapi berapa lama kami boleh mengekalkan ini? katanya.

Bagaimanapun, Habib Shahul Hameed, yang memiliki restoran nasi kandar di Kelana Jaya pula berkata, dia akan menyerap kenaikan harga itu buat masa ini bagi mengelak pelanggannya terkesan.

Tetapi dia berpandangan bahawa keadaan boleh menjadi serius.

“Harga semua barangan makanan lain sudah meningkat. Dan kini, dengan kenaikan harga beras, ia akan memburukkan keadaan pemilik restoran dan pelanggan mereka,” katanya.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya menawarkan lebih banyak subsidi atau meningkatkan pengeluaran beras.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N. Marimuthu mencadangkan agar kerajaan mengadakan program penanaman padi agar Malaysia dapat berdikari dalam bekalan beras dan bukannya bergantung kepada import.

Negara harus berhenti bergantung kepada negara lain untuk bekalan beras, tambahnya.

Sebaliknya, beliau berkata negara perlu memanfaatkan tanah yang subur untuk menanam padi.
Next Post Previous Post