Agong, Permaisuri berangkat tiba di Tawau

TAWAU— Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di lapangan Terbang Tawau di sini hari ini bagi memulakan pengembaraan yang julung kali diadakan dalam mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak.

Pesawat membawa Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang dan mendarat pada pukul 1.50 tengah hari, kemudian disambut Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni. 

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya, dengan ditemani isteri masing-masing, 

Keberangkatan tiba baginda berdua adalah untuk “Kembara Kenali Borneo” selama 11 hari bermula di Tawau, Sabah (3 September 2023), dan akan berakhir di Telok Melano, Sarawak (13 September 2023). 

Fadillah dalam hantaran di Facebook berkata, baginda berdua akan menelusuri jalan darat terutama Lebuhraya Pan Borneo untuk bersama-sama rakyat jelata di Sabah dan Sarawak serta akan turut singgah di Brunei Darussalam dalam perjalanan berkenaan. 

Antara pit stop yang akan dilalui oleh Baginda berdua di Sabah dan Sarawak selepas bermula di Tawau ialah Lahad Datu ; Sandakan ; Telupid ; Ranau ; Kota Kinabalu ; Sipitang ; Lawas ; Brunei ; Miri ; Bintulu ; Sibu ; Sri Aman ; Kuching dan Telok Melano, dengan keseluruhan jarak perjalanan sejauh 2,154 kilometer.

“Semoga Kebawah DYMM SPB YDP Agong dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat Baginda sentiasa dilimpahi keberkatan, dalam lindungan rahmat Allah SWT, dilanjutkan usia dan sentiasa berada dalam sihat walafiat,” katanya.
Next Post Previous Post