Peta baharu China tiada kesan ke atas Sarawak, kata Abang Jo

KUCHING— Tuntutan China di Laut China Selatan yang meliputi sebahagian besar perairan Sarawak seperti yang digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’ tidak memberi kesan ke atas negeri ini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Premier Sarawak berkata, kerajaan negeri sependapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk tidak mengiktiraf tuntutan China yang meliputi sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan Persekutuan sudah menjelaskan pendirian untuk tidak mengiktiraf peta ini. Sarawak dalam Malaysia, itu pendirian kita, maknanya kawasan perairan itu masih milik kita. 

“Ia tidak akan menjejaskan kita kerana terdapat undang-undang antarabangsa yang perlu dipatuhi.

“Semua negara perlu mematuhi undang-undang antarabangsa yang dibenarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang dianggotai China,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat parti itu di Jalan Bako di sini hari ini.

Beliau berpendapat isu terasnya ialah kawasan yang dituntut oleh China adalah dalam Malaysia.

“Jangan beritahu saya kita juga boleh mengeluarkan peta baharu. Peta baharu itu tidak mengikat di peringkat antarabangsa. “Sebab itu kita perlu mematuhi undang-undang antarabangsa,” kata Abang Johari.

Pada Selasa, Kementerian Sumber Asli China menerbitkan Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak.

Peta itu antara lain menggabungkan kawasan yang menjadi pertikaian khususnya membabitkan kawasan Arunachal Pradesh, wilayah Aksai Chin, Taiwan dan Laut China Selatan.

Ia turut membabitkan kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.

Wisma Putra memaklumkan, Malaysia komited untuk terus bekerjasama bagi memastikan semua pihak melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) secara menyeluruh dan efekti.

Pada Rabu,  Kementerian Luar berkata Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti yang digariskan dalam peta, sambil menambah bahawa ia tidak mempunyai kuasa mengikat ke atas Malaysia.

Peta itu antara lain memaparkan tuntutan maritim unilateral China yang menceroboh kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Photo credit: JAPEN Sarawak
Next Post Previous Post