Kuota terhad punca Bintulu kerap terputus diesel

Ketua Cawangan KPDN Bintulu Al Redzamani Abdul Razak meninjau salah sebuah stesen minyak Shell di Bintulu. Gambar kredit UKAS

BINTULU— Bekalan diesel yang kerap terputus di Bintulu berpunca daripada kuota yang terhad setiap hujung bulan.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup Bahagian Bintulu, Al Redzamani Abdul Razak berkata, bekalan diesel biasanya akan berkurangan bermula pada minggu ketiga atau minggu keempat setiap bulan.

“Kekurangan ini berikutan permintaan tinggi pada minggu pertama dan minggu kedua yang memberi kesan kepada bekalan di setiap hujung bulan oleh kerana baki kuota yang terhad.

“Faktor lain peningkatan permintaan bagi kawasan industri di Tanjung Kidurong, sekitar Similajau dan Jalan Pesisir Bintulu-Miri semakin rancak dengan projek mega seperti projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo selain ladang sawit,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Al Redzamani menambah, ketiadaan penghantaran minyak diesel oleh pihak depot Shell pada Ahad juga kadangkala memberi kesan kepada bekalan di stesen- stesen minyak shell pada Isnin.

Katanya, satu mesyuarat kontigensi antara pihak KPDN Bintulu bersama pihak operator-operator stesen Shell di seluruh bandar Bintulu telah diadakan pada Rabu bagi mencari jalan penyelesaian.

Beliau memaklumkan, Shell beri jaminan bahawa penghantaran minyak diesel ke stesen-stesen minyaknya adalah berterusan dan tidak akan menghadapi masalah kehabisan bekalan.

“Wakil daripada pihak Shell memberi jaminan akan membantu mencari jalan penyelesaian dengan menambah kuota penghantaran diesel bagi menampung keperluan bilangan treler dan lori yang semakin meningkat terutamanya di kawasan industri. 

“KPDN Bintulu juga bertegas akan membuat pemantauan berterusan di semua stesen-stesen minyak khususnya jenama Shell dalam memerangi sindiket penyelewengan minyak diesel,” katanya.
Next Post Previous Post