Kerajaan GPS jangan lengahkan pelaksanaan pindaan Akta Kerja 1995 di Sarawak-Chong

KUCHING-- Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen menggesa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak seharusnya melambatkan pelaksanaan undang-undang buruh baharu dalam menyedikan hak yang lebih baik kepada pekerja di negeri ini.

Jelas Ahli Parlimen Stampin itu, di Semenanjung, dengan penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022, pekerja lebih dilindungi dan mempunyai hak serta faedah yang lebih baik di bawah undang-undang.

"Namun, malangnya, Kerajaan GPS di Sarawak 'enggan' melaksanakan undang-undang buruh baharu di Sarawak untuk memberi hak dan faedah yang lebih baik kepada pekerja di Sarawak.

"Memandangkan Sarawak mempunyai autonomi dalam hal buruh, Akta Kerja 1955 tidak terpakai untuk Sarawak. Undang-undang mengenai hak pekerja yang terpakai di Sarawak ialah Ordinan Buruh Sarawak.

"Apabila pekerja di Semenanjung diberi hak yang lebih baik melalui pindaan Akta Kerja pada 2022, pekerja di Sarawak telah dinafikan hak yang lebih baik kerana Kerajaan GPS tidak mahu bersetuju dengan pindaan Ordinan Buruh Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Chong, aspek yang paling penting dapat diubah segera oleh Kerajaan Sarawak sekarang adalah Ordinan Buruh Sarawak yang hanya terpakai kepada pekerja yang mendapat gaji bulanan RM2,500 dan ke bawah (kecuali mereka yang terlibat dalam buruh kasar atau pemandu kenderaan komersial).

"Sebaliknya, Akta Kerja baharu adalah terpakai kepada pekerja di Malaysia Barat yang berpendapatan gaji bulanan RM4,000 dan ke bawah.

"Dalam erti kata lain, pekerja di Sarawak (tidak terlibat dalam buruh kasar atau pemandu kenderaan komersial) yang menerima gaji bulanan melebihi RM2,500 tidak layak di bawah undang-undang untuk gaji lebih masa dan faedah yang diperuntukkan di bawah Ordinan Buruh Sarawak. 

"Manakala pekerja di Semenanjung hanya akan dikecualikan gaji lebih masa dan faedah yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja jika gaji bulanannya melebihi RM4,000," jelasnya.

Selain itu, beliau memberitahu, dengan menolak pindaan undang-undang berkenaan untuk dipakai di Sarawak, kerajaan negeri dilihat seolah-olah menafikan hak rakyatnya sendiri daripada mendapat manfaat daripada pindaan tersebut.

Menurutnya lagi, mereka yang paling terjejas ialah graduan muda dan profesional kerana mereka akan dibayar sedikit melebihi RM2,500 dan terpaksa bekerja lebih masa tanpa gaji tambahan.

Jelasnya, faedah lain pekerja di Sarawak yang dinafikan oleh Kerajaan GPS ialah 45 jam seminggu bagi pekerja baharu, cuti bersalin 98 hari, cuti paterniti bergaji 7 hari, aturan kerja fleksibel dan sekatan ke atas pemberhentian pekerja wanita hamil.

"Saya ingin mengingatkan GPS bahawa kuasa autonomi harus dilaksanakan untuk kepentingan rakyat Sarawak.

"Oleh itu, adalah memalukan dan amat merugikan rakyat Sarawak bahawa, bukannya melindungi pekerja Sarawak, autonomi Sarawak dalam hal buruh kini digunakan untuk merugikan rakyat Sarawak, khususnya pekerjanya.

"Kerajaan Negeri harus mengambil tindakan segera untuk membetulkan perkara itu dan meletakkan kelas pekerja Sarawak pada kedudukan yang sama seperti di Semenanjung," ujarnya.
Next Post Previous Post