Isu mata wang Sarawak rumit, perlu kajian mendalam - Abang Johari

KUCHING— Cadangan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk mewujudkan mata wang Sarawak terlalu rumit dan perlu kajian mendalam, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak berkata, negeri ini tidak akan menggunakan mata wang berasingan memandangkan sudah ada mata wang Malaysia.

“Isu ini sangat rumit dan perlu dikaji secara mendalam. Saya pun tak tahu mengapa, tetapi itu pandangan peribadi beliau.

“Kita sudah ada mata wang Malaysia, jadi kita kena ikutlah guna mata wang Malaysia,” katanya ketika ditemui media pada Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sarawak Borneo Culture Museum Auditorium, Kuching, hari ini.

Semalam, Nanta Linggi semasa podcast bertajuk 'Dari Malaya ke Malaysia: 60 tahun' berkata, pengenalan mata wang Sarawak antara langkah boleh dipertimbangkan sekiranya ekonomi negara terus dalam keadaan tidak menentu

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, langkah memperkenal mata wang sendiri ini wajar sekiranya ekonomi Sarawak lebih baik berbanding ekonomi negara yang tidak memberangsangkan.

"Jika ekonomi Sarawak baik tetapi ekonomi negara tidak begitu baik, mungkin Sarawak akan memperkenalkan mata wang kita sendiri.

"Jika Sarawak lebih baik daripada yang lain, kenapa tidak (perkenal mata wang kita sendiri)?

Namun beliau berharap tiada pihak pihak yang akan menggelar saya sebagai pengkhianat susulan langkah untuk memperkenalkan mata wang sendiri untuk Sarawak.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, hanya Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa ke atas mata wang.

Untuk rekod, Bank Negara Malaysia (BNM) diberi kuasa oleh Akta Bank Negara Malaysia sebagai pihak berkuasa tunggal untuk mengeluarkan mata wang di negara ini.

Undang-undang mentakrifkan unit mata wang Malaysia sebagai ringgit.

Pada Julai lalu, terdapat laporan mengkategorikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi, demikian menurut ahli ekonomi Bank Dunia, Apurva Sanghi.

Apurva dipetik sebagai berkata, pendapatan negara kasar (PNK) Sarawak melepasi ambang pendapatan tinggi sebanyak AS$13,205 (RM61,500), berdasarkan pertukaran data Bank Dunia yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Negara.
Next Post Previous Post