Polis nafi Pesta Sematan pesta saman, hanya keluar 3 saman

LUNDU— Polis menafikan mengeluarkan banyak saman kepada pengunjung semasa penganjuran Pesta Sematan tempoh hari sehingga viral di media sosial bahawa pesta itu adalah pesta saman.

Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata, hanya tiga saman kesalahan meletak kenderaan dikeluarkan masing-masing melibatkan sebuah kereta, van dan kenderaan pacuan empat roda, itu pun sepanjang tiga hari pesta tersebut.

“Saman tersebut kerana meletak kenderaan di dalam tapak Pesta Sematan, bukan kerana meletak kenderaan di bahu jalan.

“Tiada sebarang saman dikeluarkan ke atas kenderaan yang diletakkan di bahu jalan masuk ke pesta.”

“Sekiranya didapati ada kenderaan yang menghalang lalulintas dan membahayakan pengguna jalan raya lain, pihak kami akan memaklumkan kepada pemilik kenderaan untuk mengubah tempat letak kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pesta Sematan berlangsung pada 11 hingga 13 Ogos lalu. 

Menurut Damataries, bermula 13 Ogos telah mula diviralkan di sosial media bahawa Pesta sematan adalah pesta saman dan kenderaan yang meletak kenderaan di bahu jalan disaman sedangkan kawasan Sematan mempunyai kawasan letak kereta yang amat terhad.

Beliau menegaskan, tumpuan utama pemeriksaan sepanjang pesta itu ialah kesalahan pengguna jalan raya seperti tidak memakai helmet bukannya meletak kenderaan di tepi jalan semasa pesta seperti yang didakwa netizen.

“Perlu dijelaskan di sini bahawa sepanjang tiga hari pesta berlangsung sebanyak 28 buah motosikal disaman atas pelbagai kesalahan antara lain termasuklah ubahsuai struktur kenderaan, ubahsuai ekzos motosikal, tiada lesen memandu/tiada perlindungan insurans, tiada penutup rantai, tidak memakai topi keledar, tiada cermin sisi dan nombor plat kenderaan tidak mengikut standard yang ditetapkan.

“Daripada jumlah 20 buah motosikal tersebut sebanyak 74 keping saman telah dikeluarkan,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan berita tidak sebaliknya merujuk ke sumber yang boleh dipercayai terlebih dahulu.
Next Post Previous Post