Memandu mabuk, lelaki dipenjara 10 tahun, denda RM50,000

BINTULU— Seorang lelaki warga asing dipenjara 10 tahun dan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana bersalah memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal pada 2 Julai lalu.

Mahkamah ketika menjatuhkan hukuman itu pada 15 Ogos lalu, turut memerintahkan hukuman penjara ditambah dua tahun jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama 10 tahun. 

Polis BIntulu dalam kenyataan berkata, tertuduh didakwa dibawah seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara bahaya dengan melawan arus dibawah pengaruh alkohol yang melebihi had sehingga menyebabkan kematian kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Kemalangan maut jalan raya ini berlaku pada 2 Julai lalu, sekitar jam 12:56 tengah malam di Jalan Sultan Iskandar, Bintulu.

“Tertuduh telah menyebabkan kematian terhadap seorang lelaki tempatan berumur 21 tahun yang menunggang sebuah motosikal pada masa kejadian. 

“Tertuduh ketika itu sedang memandu sebuah kenderaan Jenis Toyota Unser yang telah memasuki laluan arus bertentangan mengakibatkan telah bertembung dengan motosikal mangsa dari arah lampu isyarat JKR hendak menuju ke Pasar Lama, Bintulu,” katanya.


Kenyataan itu menambah, PDRM Bintulu sentiasa memberi peringatan dan nasihat kepada orang awam di Bintulu agar tidak memandu jika berada di bawah pengaruh alkohol.

Bagi kesalahan individu yang memandu dalam pengaruh alkohol berlebihan dalam badan akan disiasat dibawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih RM 30,000 atau boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun. 

Selain itu boleh hilang kelayakan memandu selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun. 

Gambar ihsan PDRM Bintulu
Next Post Previous Post