See masuk SUPP?

Pertemuan See (kiri) dengan Pengerusi GPS Abang Johari yang turut dihadiri Dr Sim (kanan) mengukuhkan khabar angin bekas Naib Pengerusi PKR serta orang kuat PSB itu menyertai SUPP. Gambar FB Dr Sim

KUCHING— Khabar angin bertiup kencang mengenai bekas Naib Pengerusi PKR serta orang kuat PSB, yang masih sah bergelar ADUN Batu Lintang See Chee How dikatakan menyertai SUPP. 

Desas-desus itu dikuatkan lagi dengan beberapa hantaran di media sosial, semua menunjukkan ke arah beliau bakal menyertai parti komponen GPS itu.

Selasa lalu, See berjumpa dengan Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia. 

Kehadiran Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian bersama See mengukuhkan khabar angin bahawa See mahu menyertai SUPP. 

Dr Sim kemudian berkongsi momen itu menerusi Facebook rasminya.

Namun khabar angin itu dinafikan See dan menjelaskan pertemuan itu hanya untuk membincangkan perihal DUN Batu Lintang dan pembangunan Sarawak, seperti yang dilaporkan portal The New Sarawak Tribune.

“Saya tak dimiliki mana-mana parti dan mahu terus berkhidmat untuk rakyat yang telah mengundi saya,” kata See.

Pada 15 Ogos, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending yang juga orang kuat DAP, Violet Yong menerusi hantaran di Facebook menyatakan SUPP mempunyai ahli baharu dari Batu Lintang.

“Hari ini (Aug 15), SUPP mempunyai ahli baharu dari Batu Lintang,” katanya dalam hantaran itu.

See merupakan naib pengerusi PKR Sarawak sebelum dibuang dari parti pada April 2020. Pada Mei 2020, beliau menyertai PSB namun meninggalkan parti itu pada Ogos tahun yang sama.

Sejak itu See menjadi ahli DUN Bebas.
Next Post Previous Post