Pelajar 13 tahun maut, motosikal bertembung di Jalan Kampung Tematu

KUCHING-- Seorang pelajar berusia 13 tahun temui ajal selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah motosikal di Jalan Kampung Tematu, Padawan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata dalam kemalangan sekitar jam 8 malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Emanuel Enchang Edwin, 13, berasal dari Kampung Sudat.

"Kemalangan berlaku melibatkan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang mangsa dan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda 115ZR yang ditunggang oleh remaja lelaki berusia 16 tahun. 

"Kemalangan berlaku semasa mangsa bergerak lurus dan dipercayai tiba-tiba telah membuat pusing di jalan raya lalu bertembung dengan motosikal Yamaha yang bergerak lurus dari arah bertentangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, akibat dari pelanggaran, remaja 16 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

"Manakala pelajar terbabit telah meninggal dunia disahkan oleh pegawai perubatan Klinik Kota Sentosa," ujarnya.

Tegas Abang Zainal, kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, polis telah melawati tempat kejadian dan kenderaan terlibat dibawa balik ke balai trafik untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia.

Selain itu, katanya, polis juga sedang mengesan saksi bebas yang dapat membantu siasatan.
Next Post Previous Post