Pengawal dipenjara 30 bulan kerana main mercun di sekolah

Gambar BH

KANGAR: Aksi dianggap gurauan menyebabkan seorang pengawal keselamatan dipenjara 30 bulan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki bahan letupan dan melakukan khianat dengan mercun buatan sendiri di sebuah sekolah rendah dekat Padang Besar pada 16 Ogos lalu.

Tertuduh, Hapizal Saad, 42 dari Padang Besar turut dipenjara empat bulan selepas turut mengaku bersalah atas kesalahan penyalahgunaan dadah berbahaya di Padang Besar pada 30 Jun lalu.

Tertuduh mengangguk faham dan mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Ana Rozana Mohd Nor.

Mengikut tuduhan pertama, Hapizal didakwa melakukan khianat menggunakan mercun buatan sendiri hingga menyebabkan kerosakan kepada khemah milik Sekolah Kebangsaan Padang Besar Utara sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM50 pada 16 Ogos lalu sekitar jam 4.50 pagi.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi tuduhan kedua pula, Hapizal didapati memiliki bahan letupan iaitu satu bungkus plastik lutsinar mengandungi 100 biji mercun bola besar dan satu kotak mercun Thunder Clap di sebuah rumah di RPA Padang Besar pada 16 Ogos lalu jam 5.30 petang.

Dia didakwa melakukan kesalahan kedua itu mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Manakala, bagi kesalahan penyalahgunaan dadah pula, tertuduh didapati menggunakan dadah berbahaya iaitu Amphetamine dan Methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar pada 30 Jun lalu pada jam 5.15 petang.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali serta wajib menjalani pengawasan tidak lebih daripada tiga tahun.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Nurul Atikah Ab Rashid manakala tertuduh diwakili peguam Hasnor Arysha Hamdan dan Shazwan Shahidan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Berdasarkan fakta kes yang dibaca serta diakui tertuduh, Hapizal menyatakan bahawa perbuatan yang dilakukan itu sebenarnya adalah bertujuan sebagai gurauan semata-mata.

Namun, Nurul Atikah dalam hujahan memohon mahkamah memberikan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Manakala Hasnor Arysha dan Shazwan merayu mahkamah agar anak guam mereka dapat diberikan hukuman yang setimpal memandangkan tertuduh sudah menyesal dengan perbuatan yang dilakukan.

Selain itu dalam rayuan mereka, tertuduh hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji sekitar RM1,300 untuk menampung kehidupan sehariannya.

Hasnor turut merayu mahkamah agar menetapkan hukuman yanh dijatuhkan adalah bermula dari tarikh suspek ditangkap iaitu 16 Ogos lalu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan Hapizal hukuman penjara 18 bulan bagi pertuduhan pertama dan 12 bulan bagi pertuduhan kedua dimana kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap.

Bagi kesalahan penyalahgunaan dadah pula, mahkamah menetapkan hukuman penjara empat bulan kepada Hapizal dari tarikh sabitannya iaitu 22 Ogos.

Pada 16 Ogos lalu, satu letupan kuat dilaporkan berlaku di satu kawasan hadapan sebuah sekolah di Padang Besar sekitar jam 4 pagi.
Next Post Previous Post