Sarawak tak silap pilih Sweden sebagai model sistem Ombdusman

STOCKHOLM—Kerajaan Sarawak berada di landasan tepat dalam mengikut model amalan terbaik institusi Ombudsman Sweden.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha ini penting ke arah menubuhkan Ombudsman Sarawak sebagai jentera kerajaan negeri sekaligus memastikan tadbir urus yang baik, telus dan berintegriti.

Malah tegas beliau, kerajaan Sarawak tidak akan silap dalam memilih Sweden sebagai model sistem Ombdusman.

“Seperti yang kita sedia maklum, institusi Ombudsman di Sweden adalah antara yang tertua di dunia iaitu sejak tahun 1809, maka model Ombudsman Sweden sebagai Ombudsman pertama dan tertua di dunia akan menjadi tempat rujukan terbaik.

“Jadi, saya amat yakin kerajaan Sarawak tidak akan silap sekiranya mengikut amalan terbaik seperti institusi Ombudsman Sweden,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengetuai rombongan kerajaan Sarawak semasa taklimat bersama Ketua Ombudsman Parlimen Sweden Erik Nymansson dan Penasihat Undang-undang Kanan, Pengarah Penyelaras Antarabangsa Parlimen Sweden, Charlotte De Geer Fallman di Pejabat Ombudsman Parlimen Sweden di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Premier Sarawak menegaskan, kerajaan negeri akan melakukan pengubahsuaian dan penyesuaian untuk memenuhi keperluan sistem, budaya dan amalan tempatan.

Menurutnya, ini adalah seiring dengan hasrat Sarawak untuk menjadi sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Justeru, kerajaan negeri yakin aspirasi ini harus dilengkapkan dengan amalan terbaik ketelusan, tadbir urus yang baik dan integriti dalam agensinya.

“Ini kerana institusi Ombudsman adalah penting dalam menjaga hak dan kepentingan rakyat yang pada masa sama menggalakkan tadbir urus yang baik dan berkesan,” jelasnya.

Mengulas mengenai lawatan penanda aras itu, Premier Sarawak memberitahu, secara ringkasnya, lawatan penandaarasan ini pada asasnya adalahh untuk mengkaji, memahami dan menanda aras struktur pentadbiran dan tadbir urus Ombudsman di Sweden.

“Lawatan penanda aras itu juga untuk mendapatkan input undang-undang dan prosedur untuk Ordinan Ombudsman negeri ini.

“Pada masa sama, menerusi lawatan penanda aras ini kita dapat mempelajari bagaimana Ombudsman memainkan peranannya dengan berkesan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, pada jam 6.30 petang waktu tempatan, Premier Sarawak turut meluangkan masa bagi menghadiri jamuan penghargaan di Stockholm.

Berucap ringkas, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Duta Besar Malaysia ke Sweden dan Pejabat Ombudsman Parlimen Sweden bagi memastikan Sarawak dapat melaksanakan Ordinan Ombudsman Sarawak pada masa depan.


Sumber UKAS
Next Post Previous Post