Perlu tindakan serius tangani rabies di Sarawak, DAP sedia jadi sukarela

KUCHING—Krisis rabies yang kian meningkat di Sarawak memerlukan tindakan segera yang lebih efisen bagi menangani penularan wabak berkenaan.

Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, peningkatan kes rabies di Sarawak baru-baru ini menimbulkan kebimbangan serius tentang keberkesanan langkah-langkah yang diambil untuk memerangi penyakit yang membawa maut ini.  

Tegasnya, kegagalan untuk membendung penularan rabies menunjukkan ketidakcekapan kerajaan Sarawak dalam menangani isu kesihatan awam yang kritikal ini.

"Rabies adalah penyakit yang sebahagian besarnya boleh dicegah, namun usaha memeranginya mendapat sambutan yang tidak menentu dalam komuniti kita.

"Punca disebabkan oleh ketidakcekapan strategi intervensi di pihak kerajaan.  

"Ini menuntut usaha segera dan menyeluruh daripada pihak berkuasa untuk memerangi dan menangani keadaan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Michael Kong, walaupun rabies adalah isu kompleks yang memerlukan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan, tanggungjawab utama terletak pada kerajaan untuk memastikan langkah pencegahan yang berkesan dilaksanakan.  

"Ini termasuk melaksanakan program vaksinasi komprehensif, melancarkan kempen kesedaran awam yang meluas, dan mewujudkan kawalan ketat ke atas pergerakan haiwan.  

"Selain itu, promosi program yang boleh membantu mengurus populasi haiwan terlibat sekali gus menyumbang kepada pencegahan wabak ini.

"Malangnya, tindakan ini nampaknya kurang dalam pelaksanaannya," ujarnya.

Tegas beliau lagi, kegagalan untuk mengawal penularan rabies bukan sahaja memberi ancaman besar kepada kesihatan awam tetapi juga menunjukkan prestasi dan komitmen kerajaan untuk menjaga kesejahteraan rakyatnya.  

"Adalah tidak boleh diterima bahawa isu ini telah berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian yang kukuh.

"Kami menyeru kerajaan Sarawak untuk mengambil tindakan segera dan tegas untuk menangani kebimbangan yang mendesak ini. 

"Keselamatan komuniti dan kebajikan haiwan kita mesti diutamakan, dan usaha bersepadu harus dibuat untuk melaksanakan langkah pencegahan yang berkesan," katanya.

Justeru, beliau memberitahu sebagai rakyat yang bertanggungjawab, beliau menuntut ketelusan, akauntabiliti dan komitmen daripada kerajaan Sarawak untuk menangani krisis rabies secara langsung.  

Katanya, sudah tiba masanya untuk kerajaan meningkatkan, bekerjasama dengan pakar dan pihak berkepentingan, dan melaksanakan pelan strategik yang komprehensif dan menyeluruh yang akan menamatkan rabies di Sarawak dengan pantas.

Menurutnya lagi, dalam usaha ini, Parti Tindakan Demokratik (DAP) menawarkan diri sebagai sukarelawan bantu kekang penularan Rabies di Sarawak dan bersedia untuk menyokong pihak berkuasa dalam usaha memerangi wabak berkenaan.  

"Kami bersedia untuk membantu secara sukarela termasuk bekerjasama dengan Jabatan Veterinar bagi menyumbang ke arah mencapai matlamat bersama untuk pastikan Sarawak bebas rabies," ujarnya.
Next Post Previous Post