Sarawak tuntut Petronas bahagi minyak, gas sama rata
KUCHING— Minyak dan gas yang diperolehi dari Sarawak mesti dibahagikan sama rata antara Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bekata, setakat tahun ini Petronas telah menemui enam telaga minyak baharu di perairan Sarawak.
Penemuan itu membabitkan telaga Gedombak di Blok SK306 dan Mirdanga di Blok SK411 (di wilayah Balingian), Sinsing di Blok SK313, telaga Machinchang dan Pangkin di Blok SK301B, dan telaga Kalung Emas di Blok SK315 (di wilayah West Luconia).
Beliau berkata, ia selaras dengan peruntukan Ordinan Perlombongan Minyak negeri 1958 (OMO 1958) dan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974).
“PDA 1974 tidak boleh digunakan secara bersendirian dan ia mesti bekerjasama dengan OMO 1958 Kerajaan Negeri.
“Sekiranya pembahagian sama rata ini belaku, ia akan meningkatkan hasil minyak negeri seterusnya menyumbang pendapatan negeri,” katanya ketika merasmikan Menara Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI).
Abang Johari berkata, Sarawak juga berhak mengenakan jualan dan cukai ke atas mana-mana produl seperti petroleum sebanyak 5 peratus.
Cukai jualan 5 peratus yang dikenakan ke atas produk petroleum memberikan Sarawak lebih banyak hasil daripada 20 peratus royalti minyak yang dituntut oleh ahli politik ketika itu.
“Sejak menjadi ketua menteri pada 2017 dan kini premier, saya telah cuba mencari lebih banyak wang untuk Sarawak.
“Minyak dan gas bukan satu-satunya yang akan dikenakan cukai jualan 5 peratus,” katanya sambil sambil menambah kerajaan negeri sedang dalam proses mengenal pasti kawasan lain di mana ia boleh meningkatkan hasil.
Semalam media tempatan melaporkan, Abang Johari akan mengadakan pertemuan dengan Petronas dalam masa terdekat bagi membincangkan tuntutan ke atas enam telaga itu.
Beliau menegaskan, telaga minyak dan sumber asli lain ditemui dalam lingkungan 200 batu nautika dalam perairan negeri jadi ia adalah milik Sarawak.