Latih lebih ramai doktor dari Sarawak - Fadillah

Fadillah semasa lawatan ke 
Perladangan Komuniti di Batu Kikir, Negeri Sembilan hari ini.

SEREMBAN— Usaha melatih lebih ramai doktor dalam kalangan rakyat Sarawak perlu diutamakan agar mereka dapat berkhidmat di negeri sendiri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, terdapat doktor-doktor terutama dari Semenanjung agak keberatan untuk berkhidmat di Sarawak kerana faktor lokasi jauh di pedalaman serta kemudahan asas yang kurang lengkap.

"Apabila tawaran dibuka (jawatan tetap), yang dapat adalah dari Semenanjung dan Sabah, mungkin mereka tidak mahu ke Sarawak itu kerana posting di luar bandar, kemudahan asas tidak selengkap seperti di Semenanjung," katanya dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas melawat ke Pusat Pengumpulan Getah (PMG) Kampung Kuala Sawah, Rantau di sini hari ini.

Media baru-baru ini melaporkan, Timbalan Premier Sarawak Dr Sim Kui Hian mencadangkan agar jawatan tetap untuk doktor kontrak ditawarkan kepada mereka yang sudah berkhidmat di Sarawak atau rakyat negeri yang sedang menanti tawaran.

Ia susulan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni yang dilaporkan berkata, seramai 50 daripada 619 pegawai perubatan menolak tawaran jawatan tetap di fasiliti kesihatan awam di Sarawak.

Terdahulu, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi mengadakan lawatan ke plot tanaman pokok Batai dan Eucalyptus yang diusahakan oleh penduduk kampung di bawah Program Perladangan Komuniti (Community Farming) di Batu Kikir, Negeri Sembilan

Katanya, ladang komuniti ini merupakan salah satu inisiatif menghasilkan sumber bekalan kayu alternatif selain dari pengeluaran hutan asli menerusi kerjasama
antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia bersama Persatuan Pekilang Panel Malaysia (MPMA) dan telah mula dilaksanakan sejak Mei 2022.

Selain melawat tapak semaian yang membekalkan anak benih pokok Eucalyptus dan Batai, Fadillah turut menyantuni komuniti masyarakat Batu Kikir menerusi sesi sembang
santai untuk mendapatkan pandangan serta cadangan mengenai isu-isu semasa dan cabaran berkaitan industri perkayuan.

Kementerian dalam kenyataan media berkata, bagi projek rintis Perladangan Komuniti di Batu Kikir, Negeri Sembilan, sasaran peserta yang telah dikenal pasti untuk menyertai projek ini adalah seramai 50 orang dengan jumlah keseluruhan keluasan berjumlah 250 ekar. 

Sehingga Julai 2023, seramai 36 peserta yang terdiri dari penduduk sekitar Daerah Jempol dan Kuala Pilah menyertai program ini melibatkan kawasan berjumlah 118.29 ekar.
Menerusi Program Perladangan Komuniti ini juga sebanyak 22,712 anak pokok telah ditanam oleh pemain industri kayu di Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Terengganu.
Next Post Previous Post