Hikmah Exchange bangunan pintar pertama di Sarawak

Hikmah Exchange dilengkapi sepenuhnya dengan sistem sentuhan elektronik atau ‘E-switch’ - Premier Abang Johari

KUCHING--Hikmah Exchange Event Centre bakal menjadi perintis sistem digital sepenuhnya pada bangunan moden lain di Sarawak.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bangunan Hikmah Exchange merupakan bangunan pintar yang pertama di negeri ini.

Ia dilengkapi sepenuhnya dengan sistem sentuhan elektronik atau ‘E-switch’ dan akan menjadi tempat terkemuka untuk pusat pentadbiran kerajaan Sarawak dan pusat perniagaan.

“Hikmah Exchange juga akan menjadi perintis sistem digital sepenuhnya pada bangunan moden lain di Sarawak.

“Ia selaras dengan hasrat kerajaan Sarawak untuk memperluaskan penggunaan teknologi dalam segala urusan.

“Dengan kemajuan teknologi dalam komunikasi membolehkan agensi-agensi kerajaan mengurus serta mentadbir dan memberi perkhidmatan yang lebih pantas dan efisien kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat di Majlis Perasmian Hikmah Exchange Event Centre di Kuching pada Sabtu.

Tambah beliau, bangunan yang bernilai lebih RM400 juta itu juga selaras dengan objektif kerajaan dalam pelaksanaan program ‘Kuching Smart Heritage’ iaitu mewujudkan infrastruktur pintar melalui teknologi maju.

“Dengan infrastruktur pintar dan teknologi maju akan menjadi daya tarikan kepada pelancong asing yang semestinya akan melibatkan kehadiran para delegasi dari luar negara dan sekaligus memeriahkan industri pelancongan di kawasan Satok keseluruhannya.

“Kita bakal menyaksikan anjakan paradigma dalam kegiatan ekonomi dalam kawasan Satok dan sekitarnya yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat kerana wujudnya peluang-peluang perniagaan hasil limpahan daripada industri pelancongan,” katanya, menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), malam tadi.

Hikmah Exchange merupakan bangunan setinggi 22 tingkat yang bakal menempatkan pejabat baru untuk agensi-agensi kerajaan negeri dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

Manakala dewan konvensyennya pula mempunyai enam bilik seminar yang mampu menampung kira-kira 800 hingga 1000 orang pada satu masa

Gambar ihsan UKAS
Next Post Previous Post