Anak pukul bapa mabuk sampai mati

PORT DICKSON— Tidak tahan dengan kata-kata kesat bapanya yang mabuk, seorang lelaki bertindak memukul mangsa sehingga mati di rumah mereka di Taman D’Ambang, Kota Lukut di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata, pihak polis menerima panggilan daripada anak lelaki mangsa berusia 26 tahun yang memaklumkan bapanya tidak sedarkan diri pada jam 12.45 tengah malam tadi.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati sebelum kejadian si mati yang berusia 49 tahun mabuk dan telah bergaduh serta dipukul oleh anak lelakinya iaitu suspek.

“Punca kejadian kerana suspek tidak berpuas dengan bapanya yang mengeluarkan perkataan kesat dan
membuat bising,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata, semakan rekod lampau dapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan Ujian saringan air kencing adalah negatif.

Katanya, pembantu Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Bukit Pelandok mengesahkan kematian di tempat kejadian pada jam 1.15 pagi dan mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

Beliau menambah, suspek kemudian ditahan pada jam 1.20 pagi di hadapan rumah mangsa untuk dibawa ke Mahkamah Seremban untuk permohonan reman.

“Suspek direman selama hari sehingga 9 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya.
Next Post Previous Post