Hentikan amalan beri komisen kepada menteri, parti politik

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lebih baik “peruntukan komisen” berkenaan dipulangkan kepada rakyat dengan mewujudkan lebih banyak pembangunan.
KUALA LUMPUR — Kerajaan mahu amalan memberi komisen kepada mana-mana menteri atau parti politik bagi perlaksanaan projek pembangunan dihentikan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, adalah lebih baik “peruntukan komisen” berkenaan dipulangkan kepada rakyat dengan mewujudkan banyak pembangunan projek seimbang meliputi pembinaan projek perumahan bagi rakyat berpendapatan rendah dan pusat-pusat penjaja yang lebih tersusun.

“Ada keuntungan (syarikat) tiada masalah, tapi janganlah potong RM10 juta atau RM15 juta untuk pak menteri atau parti seperti amalan sebelum ini, ini yang merosakkan. Saya faham ramai yang marah saya kerana menyinggung hal ini tapi semua orang tahu.

“Adakah saya betul atau salah, atau saya sengaja membesar-besarkan atau saya bercakap benar? Hakikatnya semua mengakui ini telah menjadi amalan. Jadi kita harus hentikan amalan buruk ini.

“Saya mahu amalan meminta dan memberi komisen dalam mana-mana pelaksanaan projek pembangunan termasuk projek perumahan dihentikan segera,” katanya menurut Malaysiakini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana syarikat daripada menjalankan operasi mereka dan memperoleh keuntungan, namun amalan memberi komisen kepada mana-mana menteri atau parti politik tidak seharusnya berlaku.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi di Kuala Lumpur hari ini.
Next Post Previous Post