547 iklan peminjam wang tanpa lesen diturunkan

MIRI— Sebanyak 547 bahan iklan yang disyaki dipasang oleh pemberi pinjaman wang tanpa lesen di sekitar bandar raya ini diturunkan dalam operasi penguatkuasaan Majlis Bandaraya Miri (MBM) semalam.

MBM dalam kenyataan berkata, operasi penguatkuasaan bersepadu itu dilakukan bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jawatankuasa Penduduk(JKP) Bahagian Miri.

Katanya, tumpuan utama operasi tersebut adalah untuk menurunkan dan menyita bahan iklan tanpa permit terutamanya bahan iklan peminjam wang di seluruh kawasan bandar Miri terutamanya kawasan bandar.

“Pihak MBM menerima banyak aduan terutamanya berkenaan dengan bahan iklan peminjam wang tanpa permit.

“Sejak Januari sehingga 16 Ogos, sebanyak 3397 unit bahan iklan haram terutamanya bahan iklan berkaitan peminjam wang telah disita. Tindakan kompaun sebanyak RM500 juga akan dikenakan bagi pemilik bahan iklan haram dan juga kepada individu atau syarikat yang membantu untuk memasang bahan iklan haram tersebut.

“Perkara ini boleh menjejaskan imej dan permandangan Bandaraya Miri serta boleh menyebabkan kacau ganggu dan mengancam keselamatan orang awam terutamanya pengguna jalan raya,” kata kenyataan itu hari ini.

Tambahnya, MBM bertanggungjawab di dalam penguatkuasaan Penguatkuasaan Terhadap Ketidakpatuhan Polisi Pihak  Berkuasa Tempatan (Bahan Iklan Haram) By-Laws, 2012 di bawah Seksyen 21 dan Seksyen 22 dalam memastikan pematuhan terhadap polisi bahan iklan.

“Operasi penurunan ini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan imej bandar Miri sentiasa dalam keadaan yang bersih, selamat dan teratur,” katanya.
Next Post Previous Post