Jerebu: NREB buka bilik operasi, henti dan batal permit pembakaran terbuka

KUCHING—Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) mengaktifkan bilik operasi jerebu, memberhentikan pengeluaran permit pembakaran terbuka secara terkawal serta membatalkan permit yang telah dikeluarkan untuk mengelak risiko peningkatan titik panas dan asap jerebu di kawasan mudah terbakar.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni berkata, NREB juga telah mengeluarkan notis larangan pembakaran terbuka kepada semua pemaju projek.

"Selain itu, NREB juga telah mengadakan program kesedaran bersama agensi-agensi lain bagi memastikan kualiti udara terjaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, NREB bersama dengan Jabatan Alam Sekitar juga sedang mengadakan program rondaan di lapangan untuk memastikan tiada aktiviti pembakaran terbuka dijalankan.

"Saya juga ingin memberi peringatan kepada orang ramai untuk tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh memburuk keadaan jerebu pada masa ini," katanya. 

Sehubungan itu, tegas Dr Hazland, individu yang melakukan kesalahan pembakaran terbuka boleh didakwa di bawah Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak.

Jelas beliau, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai disarankan untuk minum air secukupnya, mengurangkan aktiviti luar atau memakai topeng muka, terutamanya bagi golongan berisiko tinggi yang perlu melakukan aktiviti luar ketika menghadapi tempoh cuaca panas dan kering.

“Oleh itu, orang awam diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka di talian 082-319543 atau pejabat-pejabat NREB berdekatan,” ujarnya.
Next Post Previous Post