Bihun sup ‘air tangan’ anak Sarawak tawan selera orang Jepun di Osaka

Mohammad Arif (empat kiri) bersama rakan yang lain sedang mempromosikan bihun sup semasa program Summer Festival di Kenkoku High School di Osaka, Japan. Gambar ihsan Muhammad Arif

OSAKA— Hidangan bihun sup menggunakan daging dan ramuan halal di Kenkoku High School menjadi tumpuan utama masyarakat Jepun, menariknya ia dimasak oleh lima pelajar anak Sarawak.

Mereka terdiri daripada Muhammad Arif Syukri Suhaini yang berasal dari Lawas, Nur Dini Aqilah Affendi (Miri) dan tiga lagi iaitu Iqbal Azfarel bin Ideris, Nur Masyitah Aishah Maradi dan Syarifah Zakiah Wan Hasbi dari Kuching.

Mereka merupakan pelajar Sarjana Muda Pengurusan Industri Halal (Kepujian) di UiTM Shah Alam dan sedang mengikuti program sukarelawan di Japan Dakwah Centre, Somiyoshiku Ward, Osaka.

Wakil rombongan Muhammad Arif berkata, pada Sabtu lalu mereka berkesempatan untuk menyertai program Summer Festival di Kenkoku High School di Osaka, Japan. 

Bihun Sup menggunakan daging dan ramuan halal di Kenkoku High School menjadi tumpuan utama masyarakat Jepun. Gambar ihsan Muhammad Arif

“Pada program tersebut, kami juga telah mempromosikan bihun sup yang menggunakan daging dan ramuan yang halal. 

“Sambutan untuk jualan bihun sup dari pelajar dan ibu bapa sangat memberangsangkan dan mereka memberikan maklum balas yang positif. 

“Mereka menyatakan bihun sup kami sangat nyaman,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum itu, Muhammad Arif meningalkan coretan ‘Bihun Soup in Osaka, Japan🇯🇵. Sarawakian here masak for event. All Japanese like it so much!,” dalam satu hantaran di Facebook Borneo Network.

Beliau menambah,objektif utama adalah untuk melihat perkembangan halal dan mencari idea untuk penambahbaikan halal di Malaysia.

Katanya, jualan bihun sup itu merupakan salah satu usaha untuk mempromosi hidangan Malaysia.

“Disamping itu, kami juga telah mengedarkan risalah berkaitan program batik yang di anjurkan oleh Japan Dakwah Centre untuk mempromosikan corak batik Malaysia kepada orang Jepun.

Menurut Mohammad Arif, mereka berada di Osaka sehingga 4 September depan.
Next Post Previous Post