Thailand ancam tutup Facebook berikutan scam berleluasa di WhatsApp, Facebook dan Instagram tanpa tindakan serius Meta

KUALA LUMPUR— Berang sikap syarikat Meta yang merupakan pemilik Facebook yang tidak mengambil tindakan serius terhadap kandungan iklan-iklan penipuan atau scammer di platform media sosial berkenaan, Thailand kini bertindak mengancam untuk menutup aplikasi terbabit di negara itu.

Memetik laporan Reuters yang disiarkan The Malay Mail, Thailand dikatakan mengancam akan bertindak menutup akses aplikasi media sosial tersebut daripada beroperasi di negara berkenaan.

Katanya, Facebook kini sudah menjadi "lubuk" aktiviti penipuan dalam talian sekali gus memberi ancaman keselamatan terhadap penggunanya di negara tersebut.

Malah, Thailand juga dikatakan mendakwa Meta berulang kali mengabaikan dan gagal untuk mengambil tindakan yang diperlukan apabila iklan scammer masih bebas di platform aplikasi media sosial berkenaan.

Pada masa sama Menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat Thailand, Chaiwut Thanakamanusorn, meminta mahkamah menutup Facebook dan tidak membenarkan mereka menyediakan perkhidmatan di Thailand jika mereka terus membiarkan halaman iklan palsu untuk menipu orang. 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kementeriannya, mereka telah membuat permintaan berulang kali agar iklan yang dikenal pasti sebagai penipuan dihapuskan oleh Facebook tetapi masalah itu berterusan dan ia akan meminta campur tangan mahkamah.

Jurucakap Kementerian, Wetang Phuangsup memberitahu Reuters bahawa mereka sedang mengumpul bukti salah laku oleh Facebook yang akan dikemukakan kepada mahkamah. 

Jurucakap itu berkata “Jika terdapat banyak salah laku, mahkamah boleh menutup halaman dan akaun atau mahkamah boleh menutup seluruh platform.”

Tambah jurucakap itu, penipuan di Facebook termasuk memperdaya pengguna untuk melabur dalam syarikat palsu, memalsukan badan kerajaan seperti Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa dan berdagang dalam mata wang digital. 

Jelas sekali, kecewa dengan keadaan itu, dia berkata "Mereka tidak boleh melakukan perniagaan seperti ini".

Walaupun kes penipuan di platform media sosial berkenaan semakin meningkat, Malaysia dilihat masih 'berlembut' dengan Meta.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum ini pernah menggesa agar lebih banyak campur tangan untuk menghukum platform yang membenarkan iklan penipuan di Malaysia. 

Namun, apabila ditanya tentang kemungkinan tindakan terhadap Meta, MCMC memberitahu bahawa bidang kuasa suruhanjaya itu untuk bertindak terhadap platform media sosial berkenaan adalah terhad kerana dasar semasa tidak berkesan pada platform yang dihoskan di luar negara.

Pada Jun, MCMC berkata Malaysia sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap Meta kerana gagal menangani iklan penipuan Facebook, penyamaran dan kandungan yang tidak sesuai. 

Bagaimanapun, bulan lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata tidak ada rancangan untuk menggubal undang-undang bagi memastikan syarikat media sosial bertanggungjawab terhadap berita palsu.
Next Post Previous Post