Nilai eksport lada cecah RM65.94 juta setakat Jun lalu - Fadillah

JOHOR— Jumlah nilai ekport lada Malaysia mencecah RM65.94 juta sehingga Jun tahun ini yang merupakan satu pencapaian membanggakan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pada masa ini juga Malaysia adalah pengeluar lada kelima terbesar di dunia selepas Vietnam, Brazil, India dan Indonesia.

“Industri lada negara telah mencatatkan prestasi yang membanggakan dengan merekodkan nilai eksport sebanyak RM181.4 juta pada tahun 2022 berbanding RM153.5 juta pada tahun 2021. 

“Kementerian berharap agar momentum ini dapat berterusan walaupun dalam keadaan yang mencabar pada tahun ini,” katanya ketika berucap Sempena Program Pemerkasaan Penggiat Industri Lada Peringkat Negeri Johor Darul Takzim Di Le Grandeur Palm Resort Pada Selasa.

Fadillah berkata, kerajaan prihatin dengan nasib pekebun kecil komoditi yang rata-ratanya terkesan dengan impak ekonomi yang melanda
dunia. 

Katanya, agensi-agensi di bawah Kementerian turun padang serta memantau pelaksanaan program yang dapat membantu menambah pendapatan pekebun kecil dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup, sekaligus menyumbang kepada usaha kerajaan dalam memastikan keterjaminan makanan secara mapan.

“Bagi menangani isu kenaikan harga input pertanian, Kementerian melalui Lembaga Lada Malaysia (MPB) telah mengambil inisiatif menyemak semula nilai bantuan, dengan meningkatkan bantuan bagi Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) kepada RM46,000 bagi setiap hektar berbanding RM26,000 bagi setiap hektar sebelum ini.

“Manakala kadar bagi Skim Tanaman Lada Matang (STLM) pula ditingkatkan dari RM13,000 bagi setiap hektar kepada RM25,000 bagi setiap hektar.

“Had pemberian bantuan juga telah dinaikkan daripada 0.5 hektar sebelum ini kepada sehingga 1 hektar untuk STLB dan dinaikkan juga daripada 0.2 hektar sebelum ini kepada sehingga 2 hektar untuk STLM bertujuan untuk terus menggalakkan para pekebun meningkatkan keluasan serta produktiviti pengeluaran tanaman mereka.

“Secara keseluruhannya, bantuan sebanyak RM1.14 juta telah diluluskan di bawah STLB dan STLM dengan jumlah keluasan tanaman seluas 47 hektar serta memanfaatkan seramai 241 orang pekebun di Semenanjung Malaysia,” kata Fadillah.

Ujar beliau, susulan daripada kenaikan nilai bantuan ini, MPB mendapat maklum balas positif dari para pekebun, dimana minat dan permintaan untuk mengusahakan tanaman lada turut mencatatkan peningkatan dari semasa ke semasa.

Sejumlah 11 baucar bernilai RM55,400 bagi Skim Tanaman Lada Baharu (STLB), Skim Tanaman Lada Matang (STLM) dan Skim Pembiayaan Pembangunan Keusahawanan telah disampaikan kepada 11 orang penerima bantuan.
Next Post Previous Post