Pendapatan negeri tinggi, kerajaan Sarawak mampu sediakan dan teruskan subsidi elektrik

KUCHING-- Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yakin kerajaan Sarawak masih mampu memberi subsidi bekalan elektrik dan air kepada golongan berpendapatan rendah dengan peningkatan hasil pendapatan negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee berkata, rakyat Sarawak masih memerlukan subsidi elektrik dan berharap ia diteruskan.

"Ramai pengguna elektrik di Sarawak merungut menerima bil elektrik yang tinggi berikutan tiada lagi diskaun 25 peratus (subsidi) seperti yang diterima sebelum ini.

"Oleh itu, kerajaan Sarawak perlu meneruskan subsidi lima hingga 25 peratus bil elektrik untuk pengguna domestik, komersial dan industri sehingga akhir tahun ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pengguna khususnya golongan B40 dan berpendapatan rendah juga perlu diberi perhatian memandangkan keadaan ekonomi semasa masih belum stabil dan harga barangan keperluan masih tinggi. 

Tegas Jofri ramai pengguna domestik terutamanya golongan B40 dan mereka yang tiada pendapatan tetap mengeluh tentang masalah ini. 

"Mereka amat berharap kerajaan Sarawak dapat memberi perhatian dan dapat meneruskan pemberian subsidi bil elektrik sebanyak 25 peratus kepada pengguna yang terjejas," katanya.

Menurutnya lagi, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau amat yakin pendapatan Sarawak akan meningkat pada tahun ini (2023) malah lebih daripada 2022.

Beliau berkata, Premier Sarawak juga memberitahu bahawa pendapatan Sarawak akan mencecah RM5 bilion pada suku pertama 2023, manakala pada 2022 pendapatan negeri meningkat kepada hampir RM12 bilion berbanding RM7.62 bilion pada 2021.

"Dengan peningkatan pendapatan ini, rakyat Sarawak juga seharusnya dapat menikmati hasilnya dengan subsidi yang disasarkan kepada rakyat Sarawak khususnya yang berpendapatan rendah.

"Kami amat berharap kerajaan Sarawak dapat meneruskan pemberian subsidi 25 peratus itu supaya rakyat berpendapatan rendah dapat hidup lebih stabil dan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban rakyat Sarawak ketika ini.

"Kita yakin kerajaan Sarawak masih mampu memberi subsidi kepada golongan berpendapatan rendah dengan peningkatan hasil pendapatan kerajaan Sarawak," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memohon agar masalah ini mendapat perhatian yang sewajarnya daripada kerajaan Sarawak demi kesejahteraan rakyat Sarawak.

"Kerjasama dengan kerajaan Sarawak bagi mengatasi masalah rakyat amatlah dihargai," ujarnya.
Next Post Previous Post