Pengorbanan naik perahu ke sekolah, Anak Melanau-Iban ini akhirnya genggam watikah peguam bertauliah

DALAT— Enam tahun menggadai nyawa menggunakan perahu merentasi Sungai Rajang demi ilmu, seorang peguam muda bernama Jacquelyn Juliet Suching buktikan kehidupan serba kekurangan di pedalaman bukan halangan untuk melakar kejayaan.

Menerusi satu video di Tik Tok, Jacquelyn, 25 berkongsi cabaran pergi ke sekolah dengan menaiki perahu setiap hari, bergraduasi dan sehingga ditauliahkan sebagai peguam. 

Generated by Embed Youtube Video online

“Just a small girl from a small kampung that a bit jauh dari bandar, doing all the kampung thing and 12-13 years later,” katanya dalam kapsyen permulaan video itu.

Jaqquelyn wanita berketurunan Melanau Iban ini berasal dari Kampung Kebuaw, Dalat. 

Setiap hari ibunya Catherine Stin, 48, mengemudi perahu sendirian akan menghantar dan mengambilnya ke sekolah yang terletak di persisiran Sungai Rajang, Batang Igan.

Manakala ayah, Suching Jugei,58, pula mencari upah bekerja di kebun rumbia penduduk tempatan untuk menyara mereka sekeluarga.

Menceritakan lanjut pengalamanya ketika dihubungi Borneo Network, dia berkata dia tahu Sungai Rajang terkenal dengan banyak buaya.

“Tapi saya tidak takut memandangkan kami yang tinggal di hilir Sungai Rajang ketika itu memang bergantung dengan pengangkutan sungai.

“Ada masa tertentu saya merasa tidak yakin dengan kebolehan diri sendiri, namun melihat kegigohan kedua-dua ibu bapa, saya tekad untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Jacquelyn berkata tidak mahu menjadikan kesusahan hidup di pedalaman sebagai batu halangan untuk berjaya seperti rakan-rakan sebaya yang tinggal di bandar. Jika tidak bersekolah, dia akan membantu ayahnya bekerja di kebun rumbia.

Berkat kegigihan, dari Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga ke Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia memperoleh keputusan cemerlang. Bagi UPSR dia berjaya mendapat 5A dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula adalah 7A. Manakala bagi SPM pula dia berjaya memperoleh 9A 1B. Dia berjaya menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah dengan Ijazah Sarjana Mudan Undang-Undang dengan Kepujian Kelas Pertama.

Menurut Jacquelyn, dia menceburi bidang perundangan kira-kira setahun tujuh bulan termasuk tempoh chambering. Kini Jaquelyn bekerja di firma guaman di Bintulu, Dzulfadzli Hanizah & Co. Advocates.

“Video tersebut dirakamkan oleh guru matematik Cikgu Ermi pada 2009 saya pulang selepas habis kelas tambahan. Video tersebut dikongsikan beliau pada 2018, sembilan tahun kemudian.

“Namun saya tidak berkongsi di mana-mana media sosial sehingga baru-baru ini di Tik Tok. Bagi saya, kejayaan hari ini adalah hasil kerja keras dan kedua-dua ibu bapa selain guru dan pensyarah.

“Video ini saya tujukan kepada mereka sebagai penghargaan,”katanya merendah diri.

Setakat ini perkongsiannya itu mendapat lebih 14,000 likes dan 120,000 tontonan.
Next Post Previous Post