JSJK Sarawak catat 1,465 kes libatkan RM60 juta kerugian

KUCHING-- Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak merekodkan 1,465 kes jenayah komersil melibatkan kerugian RM60 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan kes sebanyak 187 iaitu 14.63 peratus berbanding 1,278 kes yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"JSJK bertanggungjawab terhadap kes-kes melibatkan kes jenayah penipuan, pecah amanah jenayah, jenayah siber, pemalsuan, pemberi pinjam wang tanpa lesen (Ah Long), wang palsu dan sebagainya.

"Kerugian jenayah komersil bagi tempoh tersebut adalah sebanyak RM60 juta bagi tahun 2023, manakala bagi tempoh sama tahun 2022, adalah sebanyak RM36 juta iaitu peningkatan sebanyak RM24 juta atau 66.67 peratus," katanya pada sidang media hari ini.

Jelas Azman lagi, kes-kes jenayah komersil yang melibatkan mangsa paling ramai di negeri Sarawak serta kerugian akibat jenayah tersebut adalah e-dagang iaitu 279 kes melibatkan kerugian RM2.06 juta.

"Selain itu, tawaran pekerjaan 165 kes dengan kerugian RM 3.9 juta, pinjaman tidak wujud 154 kes dengan kerugian RM1 juta, pelaburan 115 kes dengan kerugian RM12.4 juta dan phone scam 111 kes dengan kerugian RM8 juta," katanya.

Menurutnya lagi, usaha berterusan JSJK Sarawak bagi membendung jenayah komersil di negeri ini telah menghasilkan sebanyak 456 tangkapan bagi 2023.

"Seramai 652 orang (termasuk dari kes-kes tahun sebelum) telah dituduh di Mahkamah. 

"Pertuduhan tersebut melibatkan 628 kertas siasatan dan jumlah pertuduhan keseluruhan sebanyak 913 dengan jumlah peratusan pertuduhan sebanyak 42.87," ujarnya.
Next Post Previous Post