MA63: Kerajaan Persekutuan kembalikan 52 lot tanah milik Sarawak yang terbiar, gagal dimajukan

Kerajaan Pesekutuan banyak memperolehi lot tanah di Sarawak namun ia tidak dibangunkan dan terbiar begitu sahaja - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof

PUTRAJAYA— Sebanyak 52 daripada 219 lot tanah yang terbiar dan gagal dimajukan oleh Kerajaan Persekutuan dikembalikan kepada Sarawak, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Kerajaan Pesekutuan banyak memperolehi lot tanah di Sarawak namun ia tidak dibangunkan dan terbiar begitu sahaja.

“Tanah ini tidak lagi digunakan oleh Kerajaan Persekutuan tapi tanah itu menjadi terbiar...bagi sudut keselamatan, kesihatan dan sebagainya, ia perlu diserah balik kepada kerajaan negeri Sarawak.

“Dengan pengembalian ini, Sarawak dapat memajukan kawasan tanah tersebut untuk pembangunan yang memanfaatkan rakyat,” katanya sambil menambah ia meliputi tanah yang tidak dimajukan dalam tempoh lima tahun.

Memetik Malaysiakini, Fadillah berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatakuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bil 1/2023, di Putrajaya, semalam (18 Julai).

Fadillah menambah, kerajaan negeri akan membayar semula kepada Kerajaan Persekutuan jumlah pampasan yang telah dibayar pada harga ketika Kerajaan Persekutuan mengambil alih tanah berkenaan.

Tumpuan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 semalam ialah kuasa autonomi kesihatan dan pendidikan serta cadangan penukaran status pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri oleh kerajaan Sarawak.

“Turut dipersetujui ialah cadangan penukaran status Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri oleh kerajaan Sarawak.

“Pelabuhan Bintulu kini satu-satunya pelabuhan di Sarawak yang masih diletakkan di bawah tanggungjawab dan seliaan Kerajaan Persekutuan.

“Perkara tersebut akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa bersama yang akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas,” katanya.

Beliau menambah, jawatankuasa berkenaan akan mencari kaedah dari sudut perundangan dan kewangan, bagaimana kerajaan negeri akan membayar kembali kepada kerajaan Persekutuan dan sebagainya serta perspektif kewangan pengambilan pelabuhan tersebut.

Beliau berkata hasil perbincangan jawatankuasa bersama tersebut akan dibawa ke MTPMA63, dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diputuskan sebelum dibawa ke Mesyuarat Kabinet.
Next Post Previous Post