Tujuh individu warga tempatan diberkas, dapat upah RM1,500 bakar rumah mangsa ah long

KUCHING—Tujuh individu warga tempatan diberkas disyaki terlibat kes khianat dengan api terhadap mangsa pinjaman wang tanpa lesen atau along.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, siasatan awal mendedahkan bahawa suspek telah menerima upah untuk membakar dan membaling cat merah ke rumah mangsa melalui tawaran kerja di media sosial dengan pembayaran upah sebanyak RM1,500. 

"Pada 7 Julai 2023 satu laporan polis telah diterima di mana mangsa melaporkan bahawa telah menerima kiriman video rumah miliknya di Kota Samarahan telah dibakar melalui Whatsapp. 

"Terdapat tiga lagi kejadian yang melibatkan kedai perabot dan rumah mangsa yang telah disimbah cat merah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 436/507, dan 427/507 Kanun Keseksaan. 

Beliau menjelaskan jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan boleh dijatuhkan hukuman dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20tahun dan denda. 

Manakala Seksyen 427 Kanun keseksaan katanya, boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dari 1 tahun dan tidak lebihdari 5tahundengan denda atau kedua-dua. 

Bagi Seksyen 507 Kanun Keseksaan pula katanya, boleh mebawa hukuman penjara selama 2 tahun. 

"Pihak polis telah berjaya menangkap tujuh suspek yang dipercayai terlibat dengan kejadian ini.

"Kesemua tangkapan telah ditahan reman selama tujuh hari mulai tarikh 17 Julai 2023," jelas Azman.

Dalam pada itu, beliau memberitahu polis juga kini sedang giat mengesan rangkaian sindiket along tersebut untuk siasatan lanjut. 

"Justeru, orang awam dimohon untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Mustapha Ramli di talian 019-8145090.

"Selain itu, masyarakat adalah dinasihatkan untuk tidak terpedaya dengan mana-mana tawaran pinjaman wang dari mana-mana media sosial ataupun iklan daripada pemberi pinjaman wang tanpa lesen (Along)," tegasnya.
Next Post Previous Post