GPS tidak hantar jentera bantu PRN

KUCHING — Persoalan apakah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan membantu kempen pilihan raya di enam negeri di Malaya akhirnya terjawab.

Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata parti sudah memuktamadkan tidak akan menghantar jentera bagi membantu kempen pilihan raya di sana.

Walau bagaimanapun, Premier Sarawak itu berkata, GPS sebagai komponen Kerajaan Perpaduan akan menghantar wakilnya di peringkat persekutuan semasa pilihan raya.

“Kita mempunyai wakil iaitu lima menteri dan tujuh timbalan di peringkat Persekutuan. Mereka sudah diminta untuk pergi ke negeri-negeri berkenaan semasa hari pencalonan.

“Mereka akan memberikan sokongan yang sewajarnya memandangkan GPS tidak begitu arif mengenai isu di sana,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di BBCK malam tadi, yang disiarkan secara ‘live’ di The Borneo Post malam tadi.

Abang Johari menegaskan, GPS menyokong Kerajaan Persekutuan kerana matlamat utama adalah untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kuat untuk mentadbir negara.

Ketika ditanya sama ada GPS menerima jemputan secara rasmi untuk membantu kempen, Abang Johari menjawab beliau terlalu sibuk untuk menguruskan hal ehwal Sarawak.

“Tumpuan utama ketika ini ialah sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka. Sekiranya kita sibuk dengan hal lain, akhir
nya kita tidak dapat menghayati sambutan hari kemerdekaan negeri sendiri sepenuhnya,” katanya.

GPS sejak awal sudah menegaskan pendirian untuk tidak terbabit secara langsung dalam kempen pilihan raya tersebut.

Abang Johari berkata GPS sudah memuktamadkan tidak akan menghantar jentera bantu PRN. Gambar ihsan Pejabat Premier Sarawak

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pucuk pimpinan gabungan empat parti yang membentuk GPS mempunyai perintah tetap yang menjelaskan prinsip parti agar tidak terbabit di dalam pilihan raya di negeri lain.

"Itu prinsip yang GPS pegang sejak awal penubuhannya kerana fokus utama kita adalah untuk memperjuangkan kepentingan rakyat Sarawak.

Ketua Whip GPS itu dipetik berkata, beliau selaku Menteri Perladangan dan Komoditi bersama barisan menteri kabinet lain serta timbalan menteri di dalam Kerajaan Perpaduan tetap akan melaksanakan program kementerian masing-masing, bukannya berkempen.

Pada 2 Julai lepas, media melaporkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pemimpin GPS dapat turun padang membantu calon BN menghadapi PRN.

Ahmad Zahid berkata beliau mahu agenda kestabilan politik di Sarawak menjadi contoh, serta diguna pakai oleh jentera gabungan berkenaan semasa berkempen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan diadakan serentak, dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian, manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos.
Next Post Previous Post