Sumbangan Asas Rahmah diagih bermula Isnin

PUTRAJAYA—Lebih 200,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARa) sebanyak RM600 mulai Isnin ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sumbangan itu bagi membolehkan penerima mendapatkan barangan keperluan makanan asas.

"Kerajaan sudah menyediakan STR untuk meringankan kos sara hidup rakyat dan sebagai tambahan, lebih 200,000 penerima STR yang dikategorikan sebagai miskin tegar berdasarkan data e-Kasih, akan turut menerima SARa mulai 17 Julai ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan.

Beliau menambah, perincian berhubung program SARa ini, akan diumumkan dalam masa terdekat.

Terdahulu Kementerian Kewangan dalam kenyataan memberitahu, penerima yang layak dikenalpasti berdasarkan data Miskin Tegar eKasih dan berstatus lulus STR 2023.

Penerima yang layak akan menerima RM100 setiap bulan secara automatik melalui Kad Pengenalan (MyKad) bagi tempoh 6 bulan mulai Julai hingga Disember 2023. 

Barangan makanan keperluan asas daripada kategori yang diluluskan boleh dibeli menggunakan Kad Pengenalan (MyKad) penerima di pasar raya/kedai runcit terpilih seluruh negara.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.