Baru lepas ikat jamin SPRM, anak ahli politik ditahan polis

KOTA KINABALU— Seorang anak ahli politik yang baru saja dilepaskan dengan ikat jamin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 29 Julai kerana menyamar sebagai pegawai kanan agensi itu dan meminta rasuah, sekali lagi ditahan kali ini oleh polis kerana disyaki menipu.

Suspek sebelum ini disiasat oleh SPRM atas beberapa kes penipuan dan meminta suapan, dan kini disiasat polis berhubung dakwaan menipu menguruskan status permastautin tetap, lapor The Star.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 29 tahun itu adalah dalang membabitkan sindiket yang menyamar sebagai pegawai kanan SPRM dan Kementerian Dalam Negeri bagi meminta suapan untuk menyelesaikan kes yang disiasat agensi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek ditahan kerana mempunyai waran tangkap kes penipuan pada 2021.

“Pada Mei 2021, seorang pengadu melaporkan telah berurusan dengan suspek ini, yang mendakwa dia boleh menguruskan permohonan MyPR untuk isteri pengadu,

“Suspek mendakwa mengenali orang di Jabatan Imigresen yang boleh mempercepat permohonan dan kelulusan MyPR dan meminta bayaran RM52,600 dalam sembilan pembayaran untuk dimasukkan ke dalam sembilan akaun bank berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa turut dijanjikan dokumen itu akan siap dalam masa terdekat.

Mohd Zaidi menambah, bagaimanapun, mangsa masih belum menerima dokumen yang dijanjikan dan membuat laporan selepas gagal menghubungi suspek.

Terdahulu Mahkamah Majistret membenarkan permohonan reman empat hari untuk membolehkan siasatan.

Pada 24 Julai lalu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy berkata suspek dan enam yang lain disiasat kerana menuntut rasuah mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Lima daripada suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka direkodkan, katanya.
Next Post Previous Post