Empat suspek curi kabel telekomunikasi tumpas

KUCHING— Polis menumpaskan dua kegiatan mencuri kabel telekomunikasi di sini dengan penahanan empat lelaki tempatan di dua lokasi berasingan sekitar Kuching pada Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, dalam kes pertama tiga suspek dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun telah ditahan sekitar jam 6 pagi di kawasan susur masuk ke Jambatan Satok dari Gita.

“Manakala pada hari yang sama sekitar jam 5.36 petang, polis menahan seorang lelaki berumur 27 tahun di Jalan Wan Alwi.

“Turut dirampas juga sebuah kereta jenis Proton Saga, sebuah motosikal jenis Modenas, enam gulung kabel serta peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel seperti sebilah parang, kuku kambing, pemotong saiz besar dan lain-lain peralatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Merbin menambah, iasatan awal mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah. hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek juga positif dadah jenis methamphetamine. 

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda,” katanya.

Ujar beliau, kesemua suspek dalam tempoh tahanan reman selama empat hari sehingga 1 Ogos.

Pihak polis menyeru orang awam supaya tidak bersubahat membeli atau membantu melupuskan barang-barang curi. 

Sekiranya didapati terlibat, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Next Post Previous Post