Tiang Jambatan Batang Paloh dilanggar tongkang, rosakkan dua tiang

DARO: Projek pembinaan Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer (km) yang bernilai RM298 juta sedikit terjejas apabila dua tiang jambatan berkenaan rosak akibat dilanggar kapal tongkang.

Mendedahkan masalah ini, Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Residen dan Daerah akan bermesyuarat dengan agensi berkaitan dalam masa yang terdekat bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Ia menghadapi masalah menyaksikan kapal, tongkang dan sebagainya melanggar tiang keenam dan ketujuh, lalu merosakkan tiang berkenaan.

“Ia menjejaskan aliran kerja kerana kontraktor perlu melakukan pembaikan,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak projek jambatan itu di sini, pada Rabu.

Bagaimanapun, Uggah memberitahu beliau yakin permasalahan itu ada penyelesaian.

Mengulas lanjut projek itu, katanya pembinaan jambatan berkenaan telah siap 58.33 peratus berbanding jadualnya pada 63.88 peratus.

Sementara itu, pelaksanaan projek pembinaan Jambatan Muara Lassa yang berharga RM597 juta pula, Uggah berkata beliau berpuas hati dengan kemajuannya yang selari dengan jadual serta prestasi baik ditunjukkan kontraktor.

“Ia mengikut jadual tetapi saya harap mereka akan memanfaatkan sepenuhnya cuaca baik dalam beberapa bulan akan datang.

“Ini adalah jambatan kedua terpanjang di negeri ini sepanjang 2.43 kilometer yang akan mengubah kawasan pantai sekitar.


“Ini adalah usaha kerajaan GPS di bawah Premier Sarawak untuk cuba menaik taraf kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar,” katanya.

Justeru, beliau optimis kerja-kerja pembinaan projek jambatan Batang Paloh di Tanjung Manis dan Muara Lassa di sini akan siap menjelang Disember tahun depan. 

Tegas beliau pihaknya memantau perkembangan pelaksanaan kedua-dua projek mega itu untuk memastikan ia disiapkan mengikut jadual.

“Kita melakukan lawatan untuk memantau perkembangan pelaksanaan projek ini.

“Kita mahu memastikan semua projek tertangguh dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Ir. Aidel Lariwoo dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.