Sarawak terima RM917 juta laksana 241 projek tahun ini

KOTA SAMARAHAN-- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) komited dalam mengimbangi pembangunan luar bandar dengan bandar terutama di Sarawak.

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, wilayah Sarawak menerima peruntukan lebih RM917 juta bagi melaksanakan 241 projek yang meliputi 38 projek baru dan 203 projek sambungan pada tahun ini.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 178 projek di peringkat pra pelaksanaan, 41 projek pula d peringkat pelaksanaan manakala selebihnya di peringkat pasca pelaksanaan dan dalam perhatian.

"Antara program atau projek yang menjadi fokus Kementerian di Sarawak ialah projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dengan nilai peruntukan pada tahun ini sebanyak RM170.5 juta untuk 14 projek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kota Samarahan itu berkata,
kementerian turut memfokuskan penyediaaan jaringan perhubungan jalan raya menerusi projek Jalan Luar Bandar (JLB) dengan nilai peruntukan sebanyak RM169 juta yang melibatkan sebanyak 76 buah projek.

"Program Bekalan Air Luar Bandar
(BALB) di Sarawak pula diperuntukkan sejumlah RM136 juta merangkumi 56 projek.

"Selain daripada tiga projek yang menjadi fokus utama, kementerian turut melaksanakan beberapa projek dan program lain seperti Jambatan Luar Bandar (30 projek), Projek Jalan Perhubungan Desa (dua projek), Program Ameniti Sosial (PAMS) (satu projek) dan projek serta program yang dilaksanakan oleh agensi-agensi di bawah KKDW seperti MARA, FELCRA, RISDA dan KEMAS," ujarnya.

Katanya,dengan penambahan projek dan program yang dilaksanakan di luar bandar Sarawak, jurang antara bandar dengan luar bandar dapat dirapatkan.   

"Pada masa sama menjadikan persekitaran desa atau luar bandar di Sarawak lebih kondusif demi kesejahteraan masyarakat di kawasan luar bandar supaya dapat menikmati kemudahan asas seperti di kawasan bandar," jelasnya.
Next Post Previous Post