636 tapak menara telekomunikasi dibina di Sarawak libat kos RM4 bilion

KUCHING-- Sebanyak 636 tapak menara telekomunikasi dikenal pasti dan telah dibina dengan kelengkapan fasiliti di seluruh Sarawak menerusi Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) melibatkan kos RM4 bilion.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, bagi fasa pertama sebanyak 60 menara akan dibina.

Menurutnya, fasa kedua pula melibatkan kos tidak melebihi RM1 bilion bagi tujuan pembangunan 681 tapak projek Point of Presence (PoP) di Malaysia.

"Kerajaan Sarawak dan Persekutuan sepakat meningkatkan ekonomi digital dan berhasrat menaiktaraf fasiliti telekomunikasi di seluruh Malaysia kerana ianya merupakan hak asasi rakyat masa kini," katanya.

Beliau memberitahu ia adalah intipati utama yang dibincangkan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa kunjungan hormatnya semalam.

Dalam kunjungan hormat berasingan bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi dan Timbalannya, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi turut memaklumkan tentang inisiatif kerajaan Sarawak membina Sarawak Smart Tower Project sebanyak 600 buah bagi membantu Kerajaan Pusat mencapai sasaran pembinaan 7,000 buah menara telekomunikasi di Malaysia.

"Ia untuk menambahbaik rangkaian internet berkelajuan 4G dan 5G kepada penduduk negeri ini.

"Malah, sebanyak 133 buah Pusat Ekonomi Digital (PEDi) telah dibina di Sarawak bagi menampung keperluan rakyat antara lain sebagai galakan untuk penduduk di kawasan pedalaman terlibat dalam aktiviti perniagaan atas talian ataupun e-dagang," jelasnya.


Kerajaan negeri turut mencadangkan bagi tahun 2023 setidaknya satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai satu PEDi malah turut menambah 23 buah lagi untuk kawasan DUN yang tidak mempunyai PEDi juga bergantung kepada keluasan kawasan DUN. 

Difahamkan senarai 23 PEDi baharu tersebut telah dihantar ke Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan telah dipersetujui, ianya akan dibina oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

PEDi bertindak sebagai pusat pendedahan berkaitan peruntukan geran kepada penggiat ekonomi digital di kawasan pedalaman dan mengadakan kursus disamping menyediakan fasiliti seperti komputer dan jaringan internet selari dengan sasaran Malaysia menetapkan sebanyak 25.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi ekonomi digital menjelang 2025.
Next Post Previous Post