1 juta pekerja dijangka diberhenti jika caruman KWSP majikan naik

PETALING JAYA: Kira-kira sejuta pekerja perusahaan makro, kecil dan sederhana (PMKS) dijangka diberhentikan jika cadangan meningkatkan bahagian caruman majikan bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaksanakan.

Menurut Jabatan Perangkaan pada Februari lalu, kadar pengangguran negara menurun kepada 3.5%, iaitu sebanyak 591,000. Bagaimanapun, jika kerajaan mewajibkan kenaikan caruman majikan sehingga 20%, angka pengangguran dikhuatiri melonjak mendadak.

Sektor PMKS terdiri daripada perusahaan rata-rata dimiliki Bumiputera dan mempunyai antara lima hingga 200 pekerja, membekalkan khidmat dan produk kepada pasaran tempatan.

Pemangku Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon, berkata kos operasi PMKS dijangka melonjak jika kadar caruman KWSP bagi majikan benar-benar dinaikkan sehingga 20%.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai sekitar sejuta PMKS, dan maji­kan ketika ini sedang bergelut menstruktur semula perniagaan masing-masing selepas wabak Covid-19, serta menyesuaikan perniagaan dengan tekanan ekonomi semasa.

“Selepas perintah kawalan pergerakan (PKP), majoriti sedang ‘membetulkan’ perniagaan mereka, jadi sangat tidak wajar cadangan tersebut dilaksanakan oleh kerajaan, terutama melihat kepada keadaan ekonomi ketika ini juga,” katanya menurut Utusan Malaysia.

“Jika benar dilaksanakan, ia akan menyebabkan keadaan di mana mungkin setiap satu daripada sejuta PMKS itu terpaksa membuang sekurang-kurang­nya seorang pekerja bagi berhadapan kenaikan kos operasi, jadi sejuta juga pekerja bakal menerima tempias.”

Katanya, gaji dan sewa adalah dua perkara utama bagi majikan, dan mereka yang tidak mampu membuat caruman setinggi yang dicadangkan akan berdepan masalah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, Jemaah Menteri dijangka membincangkan cadangan tambahan peratusan KWSP bahagian majikan kepada 20%, berbanding 13% pada masa ini.

Cadangan itu didakwa sebagai langkah mengatasi kebimbangan kerajaan apabila 71% pencarum KWSP aktif berusia 55 tahun ke bawah tidak mempunyai wang yang cukup untuk bersara di atas paras kemiskinan negara.

Keadaan ini dikatakan berlaku akibat empat pengeluaran khas KWSP yang dibenarkan semasa penularan wabak.

Norsyahrin berkata, berbanding menaikkan caruman KWSP bahagian majikan, kerajaan perlu memikirkan langkah merancakkan kembali ekonomi negara.

Katanya, ini bagi mewujudkan kesan domino yang manfaatnya akan dinikmati ramai tanpa mengira kumpulan.

“Bukan sewenang-wenang­nya menaikkan caruman KWSP bahagian majikan sahaja. Bagaimana dengan ekonomi dengan peluang perniagaan? Kerajaan perlu mengambil langkah yang memberi manfaat kepada keseluruhan bukan fikir pihak pekerja,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin pula menyarankan kerajaan meningkatkan kadar gaji minimum kira-kira RM150 bagi pekerja, yang akan memberikan manfaat langsung, berbanding meningkatkan caruman majikan ke dalam akaun KWSP pekerja.

“Cadangan tambah caruman KWSP memang bagus untuk masa tua, tetapi masalah pekerja sekarang mereka tiada duit untuk berbelanja disebabkan kos sara hidup meningkat.

“Jadi cadangan saya lebih baik kita naikkan gaji pekerja sekitar RM150 berbanding masukkan dalam KWSP,” katanya sambil menambah ini akan mampu mengurangkan kos sara hidup.

Beliau berkata, langkah ini juga akan membantu ekonomi kerana wang itu akan disalurkan kepada pasaran, yang turut akan membantu peniaga hasil kesan pengganda.

Selepas ekonomi kembali rancak dan pulih, katanya, barulah kerajaan boleh memikirkan semula pelaksanaan menambah bahagian caruman KWSP majikan.

Katanya, kenaikan caruman KWSP itu bagaimanapun tidak boleh dibuat secara drastik, tetapi beransur-ansur agar majikan mampu menyesuaikan kos tersebut. - FreeMalaysiaToday
Next Post Previous Post