Persepsi menara tiada kuali di Sarawak adalah kurang tepat- Julaihi

KUCHING-- Persepsi menara tiada kuali mula timbul disebabkan kerja-kerja pemasangan peralatan di menara Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) fasa pertama telah terjejas semasa tempoh pandemik COVID-19. 

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, keadaan ini menjadi lebih runcing kerana bekalan peralatan 
telekomunikasi terganggu secara global. 

"Walau bagaimanapun kesemua menara ini telah mula dipasang dengan peralatan 
telekomunikasi secara berperingkat oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC). 

"Kerja-kerja pemasangan ini sedang giat 
dilaksanakan di pelbagai peringkat di mana 197 buah menara telah dilengkapi dengan peralatan telekomunikasi. 

"Daripada jumlah tersebut 70 buah menara telah beroperasi sejak Hari Raya yang lepas dan 55 buah menara lagi dijangka beroperasi pada masa Gawai akan 
datang

"Oleh itu, persepsi yang mengatakan terdapat naked tower atau menara tiada kuali di Sarawak adalah kurang tepat," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Julaihi berkata, keseluruhan menara SMART fasa pertama akan dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga tahun 2023.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu fasa kedua menara SMART yang juga melibatkan pembinaan 300 buah menara sedang giat dilaksanakan 
dalam pelbagai peringkat dan dijangka beroperasi pada suku pertama tahun 2024.

"Untuk makluman, pembinaan menara dan pemasangan peralatan telekomunikasi di kawasan luar bandar Sarawak ketika ini terbahagi kepada Menara SMART (intervensi Kerajaan Sarawak); dan Menara
Jalinan Digital Negara (JENDELA) Kerajaan Persekutuan melalui MCMC dan penyedia perkhidmatan mudah alih – CelcomDigi, Maxis, UMobile, dan REDtone," jelasnya. 

Tambahnya, kedua-dua menara SMART dan JENDELA adalah sebahagian dari 7000 buah menara yang diperlukan untuk liputan penuh di seluruh Sarawak. 

"Setakat ini 3708 buah menara telah dibina oleh pelbagai pihak termasuk oleh MCMC, SMA (sekarang diambil alih oleh SDEC), 
dan menara komersial yang dibina oleh pelbagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

"Kedua-dua menara SMART dan JENDELA dirancang dan dibina untuk saling melengkapi antara satu sama lain di seluruh kawasan luar bandar Sarawak. 

"Agak sukar untuk membezakan kedua-dua menara ini kerana reka bentuknya adalah lebih kurang sama. 

"Kalau kita bandingkan tempoh pembinaan menara dibawah program JENDELA (Kerajaan Persekutuan melalui MCMC) juga mengambil masa sekurang-kurangnya 18 bulan," dedahnya. 

Menurutnya lagi, selain itu, terdapat juga menara-menara pengulang atau repeater 
tower yang kebiasaannya dibina di lokasi berkedudukan tinggi bagi menyokong pengoperasian menara utama. 

Menara repeater ini katanya, tidak 
akan menyediakan perkhidmatan kepada orang awam, sebaliknya ia berfungsi sebagai pengulang isyarat rangkaian dari sebuah menara utama ke menara utama yang lain.

"Memandangkan menara SMART fasa pertama dan kedua berada di pelbagai peringkat pelaksanaan, maka semuanya dijangka beroperasi seperti tarikh yang disasarkan. 

"Begitu juga menara di bawah inisiatif JENDELA sedang giat dilaksanakan di pelbagai peringkat dan dijangka siap mengikut tempoh yang ditetapkan," ujarnya. 

Selain itu, beliau memberitahu Kerajaan Sarawak telah melaksanakan 
inisiatif Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN) untuk menyediakan kesalinghubungan internet (internet connectivity). 

Julaihi berkata, sejumlah RM1.89 bilion telah diperuntukkan untuk melaksanakan 
inisiatif SALURAN tersebut. 

Peruntukan ini jelasnya belum dibelanjakan 
sepenuhnya memandangkan inisiatif ini masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

"Sepatutnya penyediaan kemudahan internet adalah tanggungjawab 
Kerajaan Persekutuan melalui MCMC. 

"Walau bagaimanapun, untuk mempercepat dan memperluaskan liputan internet di Sarawak terutama sekali di kawasan luar bandar, maka Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan tersebut untuk membantu Kerajaan 
Persekutuan. 

"Kerajaan Persekutuan melalui MCMC telah memperuntukkan sejumlah RM4.09 bilion untuk pelaksanaan inisiatif JENDELA Fasa Satu termasuk pembinaan 842 buah menara baharu," katanya. 
Next Post Previous Post