Harga babi meroket ke kayangan, rakyat marhaen sambut Gawai menu vegetarian? MP Miri mohon bantuan Putrajaya

Chiew (kiri) menerima surat yang ditandatangani penternak bagi memohon bantuan daripada kerajaan Persekutuan.

MIRI— Bekalan babi yang berkurangan di samping kos penternakan yang kian meningkat menyebabkan harga daging itu terus melambung sehingga sekali ganda berbanding dengan harga yang dulu, kata Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man.

Menurutnya, sejak penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF) di Sarawak sekitar tahun 2021, hampir kesemua kawasan ladang khinzir di seluruh Sarawak termasuk Miri terpaksa tutup. 

Bagi kawasan bahagian Miri, sebelum serangan wabak tersebut, terdapat kira-kira lapan ladang khinzir yang diwujudkan di kawasan sekitar Krokop, Sungai Rait dan Tukau. 

Namun ujar Chiew, selepas penularan wabak ASF, beribu-ribu ekor khinzir telah dimusnahkan dan kesemua ladang di Miri juga telah berhenti beroperasi.

“Akibat daripada kekurangan khinzir yang ditawar di pasaran ekoran ASF dan kos penternakan terutamanya makanan haiwan yang kian meningkat, ini telah menyebabkan harga khinzir naik secara mendadak, sehingga hampir sekali ganda berbanding dengan harga yang dulu.

“Ini telah menambah beban warga Miri dalam menampung keperluan kehidupan sehariannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chiew berkata, sebelum ini beliau sudah mengadakan pertemuan dan sesi dialog bersama pengusaha ladang khinzir di sekitar Miri.

“Saya telah berpeluang untuk berjumpa dan berdialog dengan para pengusaha pada bulan yang lalu. Mereka telah menyatakan hasrat untuk menjalankan semula ladang khinzir bagi menampung keperluan di pasaran.

“Memandangkan keadaan ASF sudah semakin terkawal dan pengusaha-pengusaha ladang khinzir juga mempunyai pengalaman dalam menanganinya. 

“Walau bagaimanapun, disebabkan kerugian besar yang dialami ketika ASF dan keperluan untuk menggunakan kaedah penternakan moden yang lebih berkesan, bersih dan tidak terdedah kepada ASF, para peladang memerlukan bantuan daripada kerajaan untuk membantu mereka membangunkan ladang khinzir moden di Pig Farming Area,” katanya.

Tambahnya, masalah pengusaha khinzir di sini sudah dikemukakan kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin untuk bantuan sewajarnya.

Ujar Chiew, pengusaha turut mencadangkan ladang khinzir moden dibangunkan di kawasan Bakam, Lusut atau Lambir bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan daging untuk jangka masa panjang.

“Bagi menyelesaikan masalah kenaikan harga khinzir di kawasan, kaedah jangka panjang yang berkesan adalah menggunakan cara penyelesaian berdasarkan prinsip ekonomi, iaitu dengan meningkatkan tawaran khinzir di kawasan.

“Untuk mencapai ini, kerajaan harus mempunyai perancangan dan inisiatif dalam membantu pengusaha ladang dalam membangunkan ladang khinzir moden demi meringankan beban rakyat kita,”katanya.
Next Post Previous Post