Enam terperangkap dalam kebakaran, Bomba selamatkan
SIBU-- Enam tetamu hotel berjaya diselamatkan sepasukan bomba yang terperangkap dalam insiden kebakaran melibatkan sebuah hotel di Jalam Kampung Nyabor di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 9.13 pagi tadi dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral ke lokasi.
Jelasnya, semasa kebakaran, enam mangsa terbabit terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita bergegas keluar dari tingkap ke bahagian bumbung tingkat pertama hotel terbabit dan menjerit minta tolong.
"Komander Operasi melakukan ‘size up’ didapati kesemua mangsa tidak dapat keluar kerana laluan utama telah dipenuhi asap.
"Mangsa berada di bahagian beranda luar hotel di tepi tingkap.
"Berikutan itu, pasukan bertindak menyelamat kesemua mangsa menggunakan tangga," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, bomba menggunakan dua aliran salur bantu mula dan aliran 200 kaki satu nozel bagi mengawal dan memadam kebakaran sehingga api padam sepenuhnya.
"Kesan dari kebakaran memusnahkan lebih kurang 30 peratus yang melibatkan sebuah bilik hotel serta ruang kaunter bangunan tersebut," jelasnya.
Katanya, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
Selepas keadaan terkawal dan api dipadamkan sepenuhnya, operasi ditamatkan pada jam 10.23 pagi.