Nak cari pendapatan lebih, buruh rugi RM14,398

SIBU-- Seorang lelaki kerugian sebanyak RM 14,398 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian menerusi aplikasi Telegram.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menerima laporan berhubung kes itu semalam.

"Mangsa berusia dalam lingkungan 20-an
bekerja sebagai buruh telah menerima pesanan ringkas dari individu tidak dikenali menawarkan kerja sambilan dengan hanya menekan tombol ‘like’ video di Youtube. 

"Berminat dengan tawaran itu, mangsa telah berurusan dengan suspek dan diberikan enam tugasan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, katanya, setiap tugasan yang dibuat mangsa akan menerima komisen yang banyak.

"Dari tempoh 15 Mei sehingga 20 Mei mangsa telah membuat pembayaran
sebanyak enam kali transaksi ke dalam lima akaun yang berlainan dan dijanjikan akan menerima komisen 10 peratus bagi setiap pembayaran. 

"Namun sehingga laporan dibuat,
mangsa tidak menerima komisen yang dijanjikan dan menyedari telah tertipu," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan Zulkipli berkata, seorang pelajar lelaki turut mengalami kerugian sebanyak RM1,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan yang tidak wujud melalui aplikasi Telegram.

"Mangsa berusia dalam lingkungan 30-an telah berurusan melalui
aplikasi Telegram dan berminat untuk menyertai pelaburan Pro Smart Binance yang menjanjikan keuntungan dalam tempoh tiga jam. 

"Pada 21 Mei mangsa telah membuat pembayaran pelaburan berjumlah RM1,000 ke satu akaun bank tempatan dan diminta untuk menunggu dalam tempoh tiga
jam," katanya.

Katanya, mangsa kemudian telah dihubungi semula dan dimaklumkan telah menerima keuntungan pelaburan berjumlah RM25,000. 

"Namun mangsa perlu membuat pembayaran RM7,500 untuk
menebus keuntungan pelaburan yang diterima.
"Mangsa berasa curiga dan menyedari telah terpedaya apabila sering diminta untuk membuat pembayaran yang meragukan," katanya.

Katanya, sehingga laporan polis dibuat semalam, mangsa tidak menerima apa-apa pulangan dan keuntungan seperti yang dijanjikan.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," tegasnya.
Next Post Previous Post