Pesara, juruaudit tidak mengaku terima suapan RM780,000

KOTA KINABALU-- Seorang pesara dan seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah terhadap 34 pertuduhan menerima suapan RM780,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Zulfikar Khomeini Asli, 44, yang bekerja sebagai juruaudit sebuah kementerian di Sabah didakwa atas 34 pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Seorang lagi tertuduh Mat Salleh @ Awang Sapong Sapong, 67, yang merupakan pesara kerajaan juga didakwa atas 34 Pertuduhan di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Berikutan pengakuan tidak bersalah itu, Hakim Jason Juga memerintahkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM 80,000.00 (RM20,000.00 deposit) setiap seorang dengan dua orang penjamin tempatan.

Selain itu, beliau turut menetapkan syarat iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap 2 bulan dan pasport mereka perlu diserahkan kepada mahkamah.

Berdasarkan fakta kes, pada 2014 hingga 2015, Zulfikar bekerja sebagai Juruaudit dan Mat Salleh sebagai pembantu tadbir yang bertugas di sebuah unit jualan negeri di sebuah kementerian di Sabah telah menerima rasuah atau suapan iaitu wang sebanyak RM780,000.

Mereka menerima wang suapan berkenaan secara pemindahan wang menggunakan 34 cek Hong Leong Bank daripada sebuah syarikat kilang sawit melalui dua akaun syarikat lain.

Wang suapan itu untuk tidak mengambil tindakan menjalankan lawatan pemeriksaan mengejut terhadap sebuah kilang sawit mengenai pemalsuan Penyata Cukai Jualan Negeri Borang 4 Kementerian Kewangan Negeri Sabah.

Hakim Jason kemudian menetapkan 17 Julai 2023 untuk pengurusan kes.

Pendakwaan kes diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Binti Sapifee.

Manakala Zulfikar diwakili peguam bela Hamid & Co dan Mat Salleh diwakili Azhier Arisin & Co.
Next Post Previous Post